PERKIM Lawas ceriakan 200 anak yatim dan OKU

CERIA: Seorang kanak-kanak istimewa yang ditemani oleh ayahnya, tampil menerima duit raya daripada Dayang Morliah sambil dibantu oleh Awang Tengah


LAWAS: PERKIM Lawas dengan sokongan sektor swasta di sini membawa keceriaan dan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada 200 anak-anak yatim dan kurang upaya (OKU).

Kanak-kanak tersebut yang diraikan pada sebuah majlis yang diadakan di Stadium Tertutup Lawas di sini, telah diberikan duit raya dan buah tangan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas yang juga Setiausaha SABATI, Datuk Dayang Morliah Awang Daud berkata, majlis yang diadakan setiap tahun khusus bagi meraikan kanak-kanak istimewa dan kurang upaya serta anak-anak yatim itu, bukan sahaja untuk menceriakan mereka malah untuk membuktikan kepada golongan terbabit bahawa mereka tidak pernah dilupakan dan sentiasa disayangi masyarakat.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan, Pengarah Urusan Citra Alti Sdn Bhd Samat Othman, Lee Chin Teck (San Ching Realty) dan ketua-ketua masyarakat.

Morliah memberitahu sepanjang bulan Ramadan ini, PERKIM Lawas mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan amal terutama bagi mereka yang amat memerlukan.

Mengenai keperluan golongan kanak-kanak OKU di sini dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa mereka, beliau menekankan bahawa sokongan institusi adalah penting dan PERKIM Lawas telah pun mengambil langkah proaktif mewujudkankan pusat pemulihan dan pendidikan untuk mereka.

“Kami kini sedang cuba mendapatkan sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Lawas, daripada Jabatan Kebajikan, agar ditubuhkan di sini secara tetap dengan lebih ramai kakitangan terlatih menjaga keperluan kanak-kanak istimewa ini,” tambahnya.

Menurut Morliah lagi, PERKIM Lawas pada masa ini mempunyai dua orang jurulatih dan 16 pelatih dan jumlah ini akan ditambah kelak untuk memenuhi keperluan di PDK Lawas, apabila ia ditubuhkan kelak.

“Kita harus sedar, keadaan ini bukan mudah dan banyak cabaran yang perlu dihadapi, tetapi paling penting ialah sokongan daripada ibu bapa kanak-kanak OKU ini sendiri, sementara kita berusaha untuk melatih para pelatih sepanjang musim cuti sekolah,” ujar beliau.

Katanya, walaupun banyak pihak termasuk sektor swasta mahu membantu PDK Lawas bagi membolehkan ia beroperasi namun ibu bapa perlu memainkan peranan yang proaktif kerana merekalah pemegang amanah untuk masa depan anak-anak mereka sendiri.

“Bukan mudah bagi mana-mana ibu bapa menjaga keperluan OKU ini, kerana keperluan mereka amat berbeza kerana ada di antara mereka spastik, autistik, sindrom Down dan pelbagai lagi di samping mempunyai pelbagai ragam namun paling penting ialah kita hendaklah mencurahkan kasih sayang sepenuhnya dan melakukan pengorbanan demi masa depan dan hidup mereka yang lebih berkualiti kelak,” katanya lagi.

Sementara itu Morliah berharap PDK Lawas yang kekal kelak akan lebih besar daripada rumah PERKIM yang ada sekarang bagi membolehkan ia menampung jumlah dan keperluan kanak-kanak terbabit serta kemudahan latihan dan pendidikan untuk mereka.

Sementara itu, Awang Tengah dalam ucapannya pada majlis tersebut pula berharap semua pihak akan memnberikan sokongan moral dalam membantu kanak-kanak tersebut dan memberitahui daerah ini amat memerlukan pusat pendidikan dan pemulihan seumpama itu.

Beliau turut menggesa golongan anak-anak yatim pula supaya sentiasa tabah dan menekankan kepentingan pendidikan serta ajaran agama agar mereka boleh berjaya dan menjadi insan yang berguna, dengan kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan golongan tersebut serta kebajikan mereka, dengan menubuhkan kompleks PERYATIM seperti di Kuching dan Miri.

Awang Tengah, yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Perindustrian berkata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud juga mempunyai hasrat mahu menubuhkan sebuah lagi kompleks serupa di Lawas untuk memastikan keperluan dan kebajikan anak-anak yatim di Limbang dan Lawas dijaga.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pihak Citra Alti dan Sarawak Energy Berhad (SEB) kerana penyertaan mereka ke arah tanggungjawab sosial mereka untuk masyarakat dengan membantu memberi kecerian kepada semua kanak-kanak terbabit sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dan ke arah penubuhan PDK Lawas.

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/08/15/perkim-lawas-ceriakan-200-anak-yatim-dan-oku/#ixzz23iMeaaCA
Posted on August 15, 2012, Wednesday

Posted by Lawasian on Khamis, Ogos 16, 2012. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: