Nahas van: Ibu, anak antara lima maut


LAWAS 16 Ogos - Hasrat seorang ibu untuk berhari raya dengan anaknya di kampung halaman tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Sundar Terusan Lawas, di sini semalam.

Dalam nahas pukul 5.50 petang itu, Mariah Awang, 37, dan anaknya, Khairunisa Najwa Omar, 17, merupakan dua daripada lima mangsa yang maut setelah van jenis Toyota Hiace yang dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Fauzilan Abdul Aziz berkata, Mariah dipercayai baru sahaja mengambil anaknya yang belajar di Politeknik Kuching untuk menyambut hari raya di kampung mereka di Kampung Awat-Awat.

"Selain dua beranak itu, tiga lagi mangsa maut di tempat kejadian iaitu pemandu van, Mohd. Tafia, 45; Nurul Husna Izati, 17, dan Norzainah Mat Taib, 12.

"Van membawa 12 penumpang itu dalam perjalanan dari Bandar Lawas menuju ke Kampung Awat-Awat. Ia dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum memasuki longkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Fauzilan berkata, tiga daripada tujuh mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Lawas manakala empat lagi dikejarkan ke Hospital Kota Kinabalu, Sabah.

Tambahnya, polis masih menyiasat punca sebenar nahas itu dan menasihatkan pemandu yang akan balik ke kampung halaman masing-masing supaya memandu dalam keadaan yang berhemah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.


Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my

Posted by Lawasian on Jumaat, Ogos 17, 2012. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: