Jalan Ba’ Kelalan-Bario dibina sejurus laluan dikenal pasti, isu tanah selesai
KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan projek membina jalan menghubungkan Ba’ Kelalan dan Bario sebaik sahaja proses mengenal pasti laluan dan isu berkaitan tanah selesai.
Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru (SLB) dan ia merupakan projek pembinaan jalan pedalaman kedua dilaksanakan ATM di bawah SLB selepas pembinaan jalan menghubungkan Long Lopeng dengan Ba’ Kelalan sejauh 75 kilometer.
“Ketika ini perkemba-ngan projek membina jalan menghubungkan Ba’ Kelalan dan Bario masih di peringkat memutuskan laluan. Oleh itu, kos dan jarak jalan yang akan dibina ini belum dapat ditentukan setakat ini,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan kuih raya kepada ATM daripada Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) di Kem Penerissen di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, tahun ini ATM diberi kepercayaan untuk melaksanakan 27 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak di bawah SLB dan 20 daripada-nya sudah siap dilaksanakan.
“Projek-projek ini sedang berjalan dengan lancar dan kita berharap dengan terlaksananya projek ini ini, ATM bagi pihak kerajaan dapat membantu penduduk pedalaman menikmati bekalan air bersih,” katanya.
Menurut Mohd Zaki bermula Ogos tahun lalu hingga Januari tahun ini, ATM telah menyempurnakan 158 projek bantuan rumah dan 248 projek membaiki rumah di kawasan pedalaman Sarawak dan kesemua rumah itu telahpun diserahkan kepada pemiliknya.
Menyentuh aspek perkhidmatan perubatan dan pergigian ditawarkan ATM semenjak SLB diperkenalkan lebih 35,000 penduduk pedalaman Sarawak mendapat manfaat.
“Sememanganya sejak bermulanya projek di bawah Strategi Lautan Biru, ATM telah terlibat sepenuhnya membantu kerajaan pusat dan negeri dalam pembangunan negara, mentransformasi, memudah, membantu iaitu keperluan masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.
“Kami warga tentera akan sentiasa bantu kerajaan negeri dan pusat atas permintaan juga keperluan untuk meringankan kehidupan masyarakat khususnya di pedalaman dan kami juga akan terus membantu dari sudut keperluan kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Mengenai sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri kepada anggota ATM, Mohd Zaki berkata ia merupakan sumbangan yang amat bernilai kepada warga tentera khususnya yang bertugas di Sarawak.
“Bukan sahaja amat bermakna tetapi merupakan ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri kepada kami khususnya warga tentera yang berkhidmat di negeri ini atau pengorbanan khidmat bakti yang kami curahkan termasuk Strategi Lautan Biru dilaksanakan oleh ATM,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berharap ATM dan Jabatan Pelajaran Negeri dapat menjalinkan kerja sama dalam menyediakan perkhidmatan dan pemeriksaan kesihatan serta pergigian di sekolah-sekolah rendah di luar bandar negeri ini.
Beliau berkata jka ATM dan jabatan pelajaran dapat bekerja sama dalam aspek ini ia dapat mengisi keperluan di sekolah rendah di pedalaman yang tidak mempunyai klinik gigi seperti sekolah rendah di bandar.
“Lawatan ke sekolah-sekolah, rumah panjang dan kampung-kampung di pedalaman oleh pasukan perubatan dan pergigian ATM amat dialu-alukan,” katanya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/08/08/jalan-ba-kelalan-bario-dibina-sejurus-laluan-dikenal-pasti-isu-tanah-selesai/#ixzz230rGFx7BPosted on August 8, 2012, Wednesday
Tiada ulasan: