Belanjawan sihat 110 untuk rakyat: KM

Belanjawan Negeri 2012 mampu tingkatkan ekonomi

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan Belanjawan Negeri 2012 yang bakal beliau bentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini adalah belanjawan sihat untuk rakyat.

Beliau berkata keadaan ekonomi negeri yang begitu baik beberapa tahun kebelakangan ini, membolehkan semua kaum di negeri ini menikmati suasana iklim ekonomi yang baik.

“Kita dapat membayangkan Belanjawan Negeri 2012 yang bakal saya bentangkan pada Persidangan DUN esok (hari ini) adalah sihat untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Taib, keadaan ekonomi negara China dan India yang begitu baik boleh dijadikan contoh untuk meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan Negeri 2012 kali ini amat baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Saya percaya Belanjawan 2012 mampu terus meningkatkan ekonomi rakyat di samping mengukuhkan pendapatan negeri,” katanya ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pra-Persidangan DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, menteri-menteri kabinet negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Taib berkata memandangkan keadaan ekonomi negeri yang stabil, kerajaan negeri mampu melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat.

Beliau menambah dengan Belanjawan 2012 kerajaan pusat yang banyak membantu rakyat negeri ini maka sudah pastinya kerajaan negeri akan turut melaksanakan dengan sebaiknya.

“Kita yakin Belanjawan Negeri 2012 akan terus memberi keyakinan kepada rakyat untuk bersamasama dengan kita (kerajaan) untuk mempertingkat ekonomi negeri,” katanya.

Mengenai cadangan Belanjawan Alternatif 2012 Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Taib berkata: “Sukar bagi saya untuk membuat komen. Tapi, rakyat lebih tahu agenda sebenar mereka.” Jumaat lalu, Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen yang memegang portfolio kewangan dalam kabinet bayangan pembangkang mencadangkan agar Belanjawan Alternatif 2012 Pakatan Rakyat (PR) Negeri diguna pakai pada Persidangan DUN ini.

Antara lain belanjawan yang diumumkan oleh pembangkang itu ialah menyentuh tentang peruntukan RM1 bilion khusus untuk Dayak dan meningkatkan dana pihak berkuasa tempatan daripada RM180 juta kepada RM450 juta.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM117 juta untuk memberi bonus RM600 kepada warga emas dari usia 60 tahun ke atas.

Di samping itu, pembangkang juga mahu RM10 juta masingmasing kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah Cina serta Pertubuhan Dana Kebajikan Dayak bernilai RM100 juta.

Ketua Menteri berkata ekonomi negeri ini sudah begitu baik untuk semua kaum justeru kerajaan BN lebih memahami kehendak semua rakyat.

“Kita sememangnya tahu keperluan rakyat… justeru saya yakin Belanjawan Negeri 2012 mampu memenuhi hasrat semua rakyat negeri ini,” katanya.

Read more: http://www.theborneopost.com/2011/11/14/belanjawan-sihat-110-untuk-rakyat-km/#ixzz1dikPT8op
by Wan Ali Amit. Posted on November 14, 2011, Monday

Posted by Lawasian on Selasa, November 15, 2011. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: