Awang Tengah persoal alasan perhimpunan BERSIH

Beliau yakin ada agenda tersembunyi di sebalik penganjuran perhimpunan tersebut

KUCHING: Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mempersoalkan mengapa baru sekarang ketelusan pilihan raya dipersoalkan dan apakah sebenarnya aalasan untuk perhimpunan BERSIH.

Katanya, banyak pilihan raya serta pilihan raya kecil yang telah diadakan dan menyaksikan pihak pembangkang turut memenangi beberapa kawasan.

“Jika mereka berkata, mereka ingin pilihan raya yang bersih dan sebagainya, mengapa hanya sekarang?

“Mengapa mereka tidak mempersoalkannya sejak dari dahulu lagi selepas pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya-pilihan raya kecil selepas itu. Mereka (pembangkang) turut banyak memenangi beberapa pilihan raya kecil.

“Jadi apakah alasan mereka untuk mengadakan perhimpunan ini,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Upacara Menandatangani Perjanjian Pusat Beli-Belah City One di sebuah hotel terkemuka dekat sini, semalam.

Menurutnya, beliau yakin ada agenda tersembunyi di sebalik penganjuran perhimpunan tersebut dan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Bagi saya, terdapat agenda tersembunyi di belakang semua ini dan ada pihak di luar yang cuba untuk mengambil kesempatan

“Ini adalah kerja golongan-golongan yang menggelar diri mereka golongan elit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Mereka hanya ingin mengganggu-gugat kestabilan negara dan mahu menghasut rakyat supaya mereka boleh mengambil alih kuasa bukan melalui pilihan raya tetapi melalui demonstrasi,” tambahnya.

Katanya lagi, di negeri ini, tiada sebab mengapa perhimpunan seumpama itu patut diadakan memandangkan pilihan raya negeri baru sahaja selesai.

Jelasnya, sudah terang bahawa rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memerintah negeri ini.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan agar rakyat di negeri ini untuk tidak terjerumus dengan perhimpunan haram tersebut.

by Adib Othman. Posted on July 7, 2011, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Julai 07, 2011. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: