Menghalang kerja pembangunan, anak kelapa sawit dicabut
Jabatan Tanah Survei (JTS) terpaksa bertindak tegas untuk teruskan projek bekalan air terawat
LAWAS: Akibat kedegilan beberapa penduduk yang menanam kelapa sawit sehingga menghalang kerja pembekalan air Trusan di atas tanak milik kerajaan, anggota penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) terpaksa bertindak tegas mencabut 160 anak tanaman itu.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian, Hardi Fadillah Hamzah berkata kerja mencabut dan mengalihkan anak pokok kelapa sawit itu dilakukan lebih 50 anggota penguat kuasa dengan bantuan 17 anggota polis.
“Notis pengosongan tanah kerajaan sudah diberikan kepada penduduk berkenaan selama seminggu pada awal tahun ini namun gagal dipatuhi.
“Tindakan penguat kuasa terpaksa dilakukan memandangkan penceroboh tanah kerajaan masih gagal mematuhi arahan notis yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
JTS katanya sudah melantik syarikat Laras Jaya Construction Sdn Bhd untuk melaksana kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut bermula 2008 namun berhadapan dengan pelbagai masalah dan sekatan daripada penduduk terbabit.
“Antara tindakan yang dilakukan untuk menghalang kerja pembinaan projek tersebut termasuk membuat tuntutan hak ke atas tanah, tetapi keputusan Mahkamah Bumiputera tidak berpihak kepada mereka,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi halangan dan ugutan yang dibuat menyebabkan projek berkenaan hanya dapat disiapkan sebanyak 45 peratus saja.
“Selain itu mereka juga memaksa pihak pemaju untuk memberhentikan kesemua kerja pembinaan di tapak tersebut dan bertindak menanam kelapa sawit tanpa kebenaran,” ujarnya.
Haris menambah kerajaan sudah membayar pampasan sebanyak RM473,625 melibatkan kesemua tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan lot yang terlibat sebagai tanah kerajaan pada 2004.
Haris berkata lagi projek pembekalan air Wilayah Trusan bernilai RM64 juta di atas lot 645,646, 647,648,649 dan 650 Blok Trusan dijadual siap pada 16 Mac 2011.
“Akibat kdegilan penduduk, pembinaan projek tersebut terjejas walaupun ia amat penting dan perlu diteruskan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
“Pembekalan air terawat adalah sangat penting untuk lebih 40,000 penduduk di Lawas,” jelasnya.
by Mastura Ismail. Posted on June 16, 2011, Thursday
Tiada ulasan: