Awang Tengah kunjungi mangsa rumah roboh

ROBOH: Keadaan rumah Ismit yang roboh di Kampung Awat-awat hujung bulan lepas.

LAWAS: Belum pun pulih perasaan trauma selepas rumah pusaka yang didiami hampir 20 tahun lalu roboh menyembah bumi, nasib mangsa kejadian itu mendapat perhatian daripada Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan baru-baru ini.

Mangsa kejadian yang juga Ketua Kampung Awat-awat Ismit Aman menerima kunjungan daripada Awang Tengah yang mengadakan lawatan ke rumahnya untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Dalam kejadian yang berlaku hujung bulan lepas, kegembiraan Ismit dan keluarganya yang berhimpun bersama anak dan cucu bertukar menjadi mimpi ngeri, apabila kediaman mereka runtuh menyembah bumi.

Ismit yang melahirkan perasaan sayu tetap bersyukur kerana tiada berlaku kecederaan dan kehilangan nyawa kerana beliau dan isteri pergi ke pekan Sundar untuk menghantar anak-anak ke Brunei dan kediaman masing-masing ketika kejadian itu berlaku.

“Sebelum kejadian hampir 70 orang termasuk anak-anak, cucu dan kaum keluarga lain berhimpun di rumah saya untuk meraikan majlis perkahwinan salah seorang ahli keluarga terdekat di rumah bersebelahan.


“Kami menyedari struktur rumah tidak stabil kerana tiang simen yang menyokong rumah condong sebelum keseluruhan rumah rebah ke dalam air,” tambah beliau ketika menceritakan detik cemas tersebut.

Sementara itu Awang Tengah mahu agensi bertanggungjawab sentiasa mengemas kini maklumat dan mengadakan pemantauan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini di kawasan kediaman penduduk.

Jelasnya, agensi pelaksana juga perlu bijak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membaik pulih rumah penduduk yang memerlukan perhatian segera.

“Kita memang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi dan mereka harus bijak mengurus peruntukan yang ada untuk memberi keutamaan kepada membaik pulih rumah di kawasan Awat-Awat ini.

“Pejabat Daerah Kecil Sundar juga sudah diarah melakukan pemantauan dengan agensi lain bagi memastikan keadaan di Awat-Awat selamat kepada penduduknya,” tambah beliau.

Selain Ismit, Awang Tengah turut mengadakan lawatan sekali gus menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Ahmad 73, yang telah meninggal dunia dalam perahu selepas pulang menangkap ikan di kampung terbabit.

Turut sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Awangku Jamuddin Pengiran Kon, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sundar Ladin Atok dan ahli exco PBB Bukit Sari.


Posted on June 13, 2011, Monday

Posted by Lawasian on Isnin, Jun 13, 2011. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: