RM2 juta untuk pembangunan awal kanak-kanak

SIBU: Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) dalam usaha memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

APA KHABAR?: Taib (kanan) bertanya sesuatu kepada salah seoang kanak-kanak pada Majlis Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-5/2010 di Sibu, petang kelmarin. Turut kelihatan Wong (dua kanan).

Beliau memberitahu usaha itu penting bagi memupuk minat kanak-kanak untuk terlibat dalam pendidikan awal bagi melahirkan ramai lagi generasi yang berilmu ke arah negara maju, menjelang tahun 2020.

“Kerajaan amat memberikan fokus utama terhadap pembangunan pendidikan prasekolah yang membabitkan kanak-kanak yang juga bakal menjadi peneraju negara kita pada suatu hari nanti.

“Oleh itu, kita harus memperkasakan tahap pendidikan awal kanak-kanak agar matlamat kerajaan negeri bakal tercapai jua kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-5/2010 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, petang semalam.

Konvensyen kali ini bertemakan ‘Membangun Minda Kreatif: Mengajar Kreativiti dan Mengajar Secara Kreatif’.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh, Ahli Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri, Dr Sabariah Putit.

Selain itu, ujar Taib, semua pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini harus dibangunkan termasuk di kawasan pedalaman.

“Semua pendidikan awal kanak-kanak harus dibangunkan di semua tempat serta kawasan di negeri ini bagi membolehkan semua kanak-kanak di negeri mendapatkan pendidikan yang sama rata dan tidak tersisih sama sekali,” jelasnya.

Para pengamal pendidikan prasekolah juga katanya, perlu menerapkan diri dengan seberapa banyak ilmu serta harus memainkan peranan penting dalam usaha membantu kerajaan ke arah generasi yang berilmu.

Taib memberitahu, seseorang tenaga pengajar harus diberikan latihan yang secukupnya bagi memantapkan daya kreatif masing-masing dalam mendidik kanak-kanak di peringkat prasekolah.

“Saya berharap minda para pendidik di prasekolah harus digerakkan supaya sentiasa kreatif serta mengamalkan daya kreativiti dalam pembelajaran dan pengajaran setiap masa, malah dapat menyemai serta menyubur minat kanak-kanak untuk bersekolah,” jelasnya.

Beliau berpendapat kini sudah tibanya untuk para pendidik prasekolah menjadi kreatif dalam menangani perubahan zaman.

“Arena pendidikan seawal pendidikan prasekolah sekalipun sudah menjadi begitu dinamik sehingga para pendidik perlu tangkas serta cepat berubah.

“Salah satu cara supaya para pendidik tidak ketinggalan ialah melalui daya kreativiti dan inovasi dalam cara mendidik agar di kaca mata kanak-kanak gaya persembahan mereka akan dilihat sebagai segar, menarik dan menyeronokkan sejajar dengan tema konvesyen kali ini,” tambahnya lagi.

Kovensyen ini yang berlangsung sejak 1 Oktober lepas dan akan berakhir pada 3 Oktober (hari ini) disertai kira-kira 450 orang guru prasekolah termasuk ibubapa dan orang perseorangan dari pelbagai agensi dan jabatan.


by Watt Zacchaeus. Posted on October 3, 2010, Sunday

Posted by Lawasian on Isnin, Oktober 04, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: