Pelaksanaan 11 NKEA jana pertumbuhan ekonomi
KUCHING: Pelaksanaan 11 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merangkumi sektor-sektor industri utama di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 68 Projek Permulaan (EPP) di Sarawak akan menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat bandar dan luar bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala berkata pendekatan inklusif itu memberikan tumpuan pada sektor minyak, gas dan tenaga, elektrikal dan elektronik, minyak sawit serta pertanian.
Bercakap semasa pembentangan ETP sempena Hari Terbuka ETP di Hotel Four Points di sini semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) itu berkata ETP akan me-lengkapkan inisiatif Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Inisiatif-inisiatif di bawah SCORE akan diteruskan ke-rana projek-projek ETP juga mengumpil bekalan tenaga sedia ada dan murah di Sara-wak, dan ini juga akan me-nyokong EPP di bawah NKEA elektrikal dan elek-tronik,” katanya.
Selain itu, Idris menambah tiga EPP di bawah NKEA iaitu minyak, gas dan tenaga yang bertujuan mengekalkan pengeluaran minyak dan gas juga berkaitan dengan Sara-wak.
“Antaranya ialah menghidupkan semula medan-medan minyak dan gas sedia ada, membangunkan medan-medan kecil dan mempertingkatkan peluang-peluang penerokaan,” jelasnya.
Sementara itu, 25 EPP dengan anggaran Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM66 bilion pada 2020 dijangka mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat luar bandar negeri ini.
Menurut Idris, peluang pe-kerjaan tersebut akan membantu memacu pertumbuhan eko-nomi luar bandar dan mengurangkan penghijrahan ke bandar.
“Ini kerana, daripada 8.7 juta penduduk luar bandar di Malaysia, 2.7 juta daripadanya ialah penduduk luar bandar di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, projek-projek permulaan minyak sawit, pertanian, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, kandungan komunikasi dan infrastruktur juga diharapkan membawa inisiatif ETP untuk memastikan kekayaan dan kesejahteraan negara dikongsi dengan masyarakat luar bandar di Sarawak.
Sektor-sektor NKEA lain yang turut dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ialah perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, kesihatan serta kan- dungan komunikasi dan infrastruktur.
ETP ialah kemuncak bidang kerja yang luas untuk me-ngembangkan agenda eko-nomi kerajaan, merangkumi RMK-10, Model Baru Ekonomi (MBE), dan prinsip 1Malaysia.
ETP menyasarkan pertumbuhan GNI hampir tiga kali ganda daripada RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion pada 2020.
Ini menterjemahkan peningkatan GNI per kapita daripada RM23,700 hingga RM48,000, memenuhi tanda aras negara berpendapatan tinggi, di mana negara dijangka mengembangkan GNI sebanyak enam peratus antara 2011 hingga 2020 untuk mencapai sasaran tersebut.
Hadir menyempurnakan majlis Hari Terbuka ETP itu semalam ialah Ketua Menteri Pehin Sri Taib Mahmud sambil diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.
Posted on October 5, 2010, Tuesday
Tiada ulasan: