Tarif air mungkin dikaji

Kos membekalkan air bersih dan pemasangan paip semakin meningkat, kata Awang Tengah

KUCHING: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan akan mengkaji semula tarif bekalan air pada masa akan datang disebabkan kos pengeluaran dan pengedaran bekalan kemudahan asas itu semakin meningkat.Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu walaupun kos pembekalan air memakan belanja yang agak tinggi pada masa ini, tetapi semenjak 1992 belum terdapat sebarang cadangan yang diusulkan untuk mengubah tarif bekalan asas itu.

“Bagaimanapun, ia mungkin akan dikaji semula pada masa akan datang untuk menaikkan tarif bagi bekalan air disebabkan kenaikan pada kos pengeluaran dan pengedarannya.

“Buat masa ini, belum ada usaha-usaha untuk mengubah dari segi tarif yang telah diguna pakai sejak tahun 1992 itu walaupun kos untuk membekalkan air bersih dan pemasangan paip di Sarawak sudah meningkat,” jelas beliau.

Justeru katanya, kerajaan negeri belum bercadang untuk melakukan perubahan tarif pada bekalan air dan juga bekalan elektrik di negeri ini dalam masa terdekat, walaupun di peringkat kerajaan pusat, usaha penyeragaman tarif sedang dilakukan.

Awang Tengah menjelaskan perkara itu kepada pemberita di sini, selepas ditanya mengenai penyeragaman tarif untuk seluruh negara, ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, di sini malam kelmarin.

Mengenai bekalan elektrik, Awang Tengah berkata, berdasarkan purata tarif yang dikumpulkan oleh penggunaan pihak komersil, domestik dan industri di negeri ini, ia masih rendah jika dibandingkan dengan tarif yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai keputusan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk masih bersama Barisan Nasional (BN), beliau berkata, apa sahaja keputusan SUPP ia tetap diterima dengan baik.

“Itu terpulang kepada mereka, kita terima sahaja lagipun kita sudah lama bersama di dalam BN dan ia diterima baik dan merupakan keputusan yang bagus.

“Tiada sesiapa yang mahu menolak keluar parti SUPP kerana jalinan dan persefahaman yang telah lama terjalin,” katanya lagi.

by Henrietta Liza
September 9, 2010, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, September 09, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: