Bakar al-Quran: Amerika buntu
Amerika Syarikat (AS) nampaknya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang sebuah gereja kecil di Florida daripada meneruskan rancangan untuk membakar beratus-ratus naskhah al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September sekalipun perbuatan itu dikhuatiri boleh menimbulkan reaksi keras di seluruh dunia.
White House semalam sekadar menyuarakan semula kebimbangan yang dibangkitkan oleh para pemimpin tenteranya bahawa langkah provokasi yang dirancang oleh gereja Dove World Outreach Center itu boleh mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Islam dan membahayakan nyawa askar AS.
"Perbuatan itu akan meletakkan askar kita dalam bahaya. Sebarang jenis aktiviti yang meletakkan askar kita dalam bahaya sudah tentunya membimbangkan pentadbiran ini," kata jurucakap White House, Robert Gibbs.
Beliau mengulangi kenyataan yang dibuat oleh komander tertinggi tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan, Jeneral David Petraeus yang memberi amaran, pembakaran kitab suci Islam itu akan dijadikan bahan propaganda oleh puak militan.
"Ia boleh membahayakan askar dan membahayakan seluruh kempen kita," kata Petraeus kepada akhbar Wall Street Journal dalam kenyataan yang turut disuarakan kemudian oleh ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen.
Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton mengutuk perbuatan yang dirancangkan itu sebagai 'biadab dan memalukan'.
Namun Dove World berikrar untuk terus memperingati hari ulang kesembilan serangan 11 September, 2001 pada Sabtu ini serta hampir 3,000 orang yang terbunuh dengan membakar beratus-ratus naskhah al-Quran.
Meskipun pihak bomba menolak permohonan ketua paderi gereja tersebut, Terry Jones untuk mengadakan upacara pembakaran terbuka, polis tidak boleh campur tangan sehinggalah pengikut gereja benar-benar membakar kitab suci itu.
Malah setelah al-Quran dibakar pun, tiada tangkapan akan dibuat kerana kesalahan melanggar ordinan tempatan hanyalah satu kesalahan kecil dan cuma saman dikeluarkan dalam kes sedemikian.
Provokasi gereja itu timbul ketika merebaknya sentimen Islamofobia berpunca daripada rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid di New York di satu lokasi berhampiran Ground Zero iaitu tapak runtuhan World Trade Center (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September.
Peguam Negara AS, Eric Holder menemui para pemimpin pelbagai agama semalam untuk membincangkan langkah bagi membendung sentimen anti-Islam itu, berikutan gesaan mereka supaya beliau membuat kenyataan keras mengutuk jenayah yang didorong oleh kebencian terhadap agama atau golongan tertentu.
Pengarah eksekutif Muslim Advocates, Farhana Khera berkata, selepas pertemuan mereka, Holder menyifatkan rancangan untuk membakar al-Quran itu sebagai 'bodoh dan berbahaya'.
Khera bagaimanapun kesal kerana pembakaran itu nanti jika dilaksanakan tidak akan melanggar undang-undang persekutuan. - AFP
Paderi Terry Jones ‘masih berdoa untuk ilham’ bakar al-Quran
GAINESVILLE, Florida 8 Sept. – Paderi sebuah gereja kecil yang menyokong falsafah anti-Islam menyatakan dia masih berdoa ‘untuk mendapatkan ilham’ sama ada akan meneruskan rancangannya untuk membakar al-Quran pada 11 September ini, yang ditentang oleh pemimpin agama dan beberapa pihak lain.
Paderi Terry Jones berkata, dia menerima lebih 100 ancaman bunuh dan mula membawa pistol tetapi dia tetap tidak menarik balik rancangannya untuk membakar kitab suci umat Islam itu.
Menurut paderi berusia 58 tahun itu, ancaman bunuh ke atasnya bermula sejurus dia mengumumkan akan mengadakan ‘Hari Membakar al-Quran Antarabangsa’ Julai lalu.
Penyokong-penyokongnya telah menghantar naskah-naskah al-Quran ke gereja yang mempunyai 50 pengikut itu untuk dibakar sempena ulang tahun kesembilan serangan 9/11.
Jeneral David Petraeus memberi amaran dalam e-melnya kepada The Associated Press bahawa tindakan itu akan digunakan pihak pelampau di Afghanistan dan seluruh dunia untuk membangkitkan pendapat umum dan mengapi-apikan keganasan.
Menurut Jones, dia turut bimbang tetapi menolak untuk membatalkan protes itu di gereja Dove World Outreach Center kerana dia masih berdoa mengenai rancangannya itu.
Tindakannya itu akan dilindungi oleh Pindaan Pertama berhubung kebebasan bersuara. Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat (AS) dengan jelas dalam beberapa keputusan menunjukkan bahawa ucapan yang dianggap menyinggung ramai orang, mahupun kumpulan majoriti tidak boleh disekat oleh kerajaan kecuali ia jelas bertujuan mengugut seseorang atau menghasut melakukan keganasan, menurut pakar undang-undang.
Dakwa Jones, al-Quran adalah ‘jahat’ kerana menyokong sesuatu berbeza dengan Bible dan menghasut radikal dan keganasan di kalangan Islam. – AP
Tiada ulasan: