Menyamar Tunku Mahkota Johor dalam Facebook

Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang dipercayai menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada laman sesawang Facebook, baru-baru ini.Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung penyamaran itu kelmarindan siasatan mengenainya sedang dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Siasatan terperinci sedang dibuat oleh Polis Kontinjen Johor bersama Bukit Aman untuk mengesan individu yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata penyalahgunaan laman sosial itu merupakan perbuatan serius lebih-lebih lagi melibatkan institusi diraja.

“Keterbukaan di laman social kena ada batasan. Kalau kita tulis sesuka hati, ini boleh mengundang masalah. Jadi, kita kena patuh kepada undang-undang,” tegasnya.

Laman sosial Facebook itu dipercayai dikendalikan oleh seorang individu bergelar “Miky” mempunyai “Diari Harian Tunku Mahkota Johor”, “Tengku Ismail” dan “Tunku Mahkota Johore (Penasihat Utama TMJ)” dan dikatakan mempunyai kira-kira 10,000 peminat ketika akaun itu masih aktif beberapa hari lepas.

Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail, individu itu juga melayan komenkomen peminat yang menyangkakan dirinya ialah TMJ.

Akaun berkenaan kini telah dinyahaktifkan dan beberapa kumpulan yang menentang tindakan individu terbabit ditubuhkan bagi menggesa tindakan undang-undang segera diambil terhadap individu berkenaan.

Penyamaran sebagai TMJ itu merupakan kejadian terbaru yang mencemar institusi diraja Johor selepas penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada kain rentang sebuah parti politik di negeri ini, awal bulan ini. — Bernama


Kejadian terbaru cemar institusi diraja dalam siasatan polis - August 26, 2010, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Ogos 26, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: