Mangsa tanah susur dinasihat berpindah

Susulan kejadian tanah susur di Kampung Bukit Kota

LIMBANG: Mangsa tanah susur di Kampung Bukit Kota di sini dinasihatkan untuk bersedia berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk dan membahayakan mereka.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata, langkah sedemikian penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, terutama pada waktu malam.

Beliau berkata, walaupun keadaan semakin stabil dan belum berlakunya tanah runtuh, namun ia tidak bermakna mereka boleh mengabaikan keselamatan diri masing-masing.

“Kita sudah menasihatkan penduduk terbabit supaya bersedia untuk berpindah ke kediaman saudara mara mereka untuk sementara waktu.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku, yang boleh membahayakan nyawa mereka,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian di kampung itu semalam.

Dalam pada itu, Dr Rahman menjelaskan bahawa Jabatan Mineral dan Geosains serta agensi kerajaan yang berkaitan sudah turun padang untuk melakukan penyiaasatan berhubung kejadian tersebut.

“Kita sedang menunggu keputusan kajian yang dilakukan pihak berkaitan untuk mencari langkah terbaik menangani masalah berkenaan. Kita harap ia akan siap secepat yang mungkin,” katanya.

Pada masa sama beliau mahu Jabatan Tanah dan Survei mencari kawasan dan penempatan kepada mangsa berkenaan pada masa depan.

Terdahulu, JKM telah menyerahkan bantuan bahan binaan dalam bentuk wang tunai sejumlah RM2,160 kepada ketiga-tiga mangsa berkenaan termasuk keluarga Brahim Bakir 81, Muit Salleh dan Kula Tangah.

Turut hadir ialah penolong pengarah JKM Bahagian, Aziah Saruji.


August 26, 2010, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Ogos 26, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: