Banyak struktur dibina tanpa kelulusan MPS

Konsultan dan kontraktor diminta lebih profesional dan bertanggungjawab ketika menasihati klien

SIBU: Konsultan dan kontraktor diminta lebih profesional dan bertanggungjawab ketika menasihati klien mereka, terutamanya dalam aspek kebenaran penyambungan bangunan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King berkata, masih terdapat struktur di bandar ini dibina tanpa kelulusan pihak majlis.

“Di bawah S.8 (1) Ordinan Bangunan Sarawak, tiada pihak dibenar untuk membina apa-apa bangunan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya pada mesyuarat penuh MPS semalam.

Katanya, MPS telah merekodkan sejumlah 51 pembinaan struktur tanpa kelulusan majlis dalam tahun 2009.

“Setakat ini sejumlah 42 pembinaan struktur tanpa kelulusan pihak majlis telah direkodkan.

“MPS telah mengenakan tindakan dengan memberi notis merobohkan bangunan, diikuti dengan tindakan fizikal lain,” kata Tiong.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk memohon kebenaran bagi penyambungan struktur bangunan sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Ketika mengulas mengenai aktiviti pembakaran terbuka batang colok dan ‘wang kertas’ di tempat awam, Tiong berkata, ia telah menyebabkan kerosakan di sebahagian kawasan rumput serta mewujudkan persekitaran yang kotor.

“Aktiviti pembakaran ini telah dijalankan di kebanyakan bulatan jalan dan berdekatan lampu isyarat pada malam kelmarin sempena sambutan Festival Hantu.

“Pihak majlis kesal dengan perbuatan yang telah mewujudkan persekitaran yang kotor itu dan perbuatan ini ibarat merosakkan harta awam,” jelas beliau.

Ahli Parlimen Lanang itu berkata, pihak majlis telah mengeluarkan notis peringatan dan menyeru kerjasama orang ramai agar menjaga kebersihan ketika membakar batang colok dan ‘wang kertas’.

“Walaupun kita menghormati kebebasan beragama tetapi dalam masa yang sama tidak adil bagi masyarakat lain sekiranya kebebasan ini menyebabkan ketidakselesaan dan kerosakan,” kata Tiong.

by Florence Nervyn
August 26, 2010, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Ogos 26, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: