MDL disaran bertindak pulih imej Lawas

Aspek kebersihan bandar terabai, kurang selenggaraan amat mendukacitakan: Henry
LAWAS: Majlis Daerah Lawas (MDL) disaran bertindak segera memulihkan kembali imej bandar Lawas yang semakin kotor dan kurang penyelenggaraan kepada status bandar terbersih dan tercantik yang pernah dicapai di peringkat negeri dan kebangsaan.Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, pada masa ini tahap kebersihan dan keindahan bandar Lawas yang merupakan pintu masuk utama pengunjung dari negeri Sabah, amat mendukacitakan.

Beliau berkata, perkembangan tidak sihat itu memerlukan kerja keras dan usaha berterusan oleh pihak MDL untuk mengembalikan kegemilangan Lawas sebagai bandar terbersih dan tercantik yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu.

“Aspek kebersihan dan keindahan amat penting dan perlu diberi keutamaan dalam menjadikan Lawas sebagai antara bandar yang bersih dan cantik,” ujar beliau ketika dihubungi media kelmarin.

“Kerajaan persekutuan sebelum ini juga memberikan banyak peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah agar kesihatan rakyat dan keselesaan bandar dapat dipertingkatkan.”

Henry berkata, segala peruntukan yang disalurkan pihak kerajaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk memastikan penyelenggaraan kawasan Bandar dilakukan secara berterusan.
Katanya, semua PBT wajar menggunakan bantuan geran tahunan tersebut untuk memberi manfaat yang sebaikbaiknya kepada rakyat.

“Bagi mencapai hasrat ini, perancangan berkaitan penggunaan geran yang diberikan perlu dilakukan dengan teliti,” jelasnya.

“Ia termasuk harus melaksanakan tugas dengan cekap, cepat dan efektif seterusnya dapat menjamin mutu perkhidmatan PBT sentiasa dipantau dan ditambah baik.”

Jelas beliau, orang ramai termasuk pengunjung luar turut melahirkan rasa kurang selesa dengan keadaan Bandar Lawas yang agak kotor kerana tidak diselenggara dengan sempurna.

“Sebagai contoh, Jalan Pan Borneo di sini dipenuhi dengan sampah, rumput panjang, pokok yang tidak diurus, tempat menunggu bas yang rosak, pagar usang, manakala garisan putih di tepi jalan juga semakin pudar,” katanya.

Keadaan tersebut, tambahnya, amat mengecewakan memandangkan daerah ini merupakan pintu masuk utama pengunjung yang datang dari sebelah utara, khasnya Sabah.

Beliau yang juga mantan setiausaha MDL pada tahun 1989, menyarankan agar MDL turun padang, menjalin hubungan kemasyarakatan dengan rakyat dan mengurangkan birokrasi yang boleh membantutkan perancangan pembangunan.

“Kita tidak harus menyalahkan sesiapa sama ada pihak media atau rakyat tempatan kerana perkara yang berlaku sememangnya berlaku di depan mata,” katanya.

“Perkara ini tidak sewajarnya disembunyikan atau disorokkan dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
“Mereka perlu menjalankan peranan lebih proaktif untuk mencapai status Lawas sebagai bandar terbersih yang memberi manfaat pembangunan kepada penduduk di daerah ini.”

Sebelum ini, MDL pernah merangkul Anugerah Majlis Daerah Paling Bersih dan Cantik Peringkat Negeri Sarawak dan kebangsaan beberapa kali termasuk pada pertengahan tahun 2009.

Borneo Post/ April 6, 2010, Tuesday

Posted by Lawasian on Selasa, April 06, 2010. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

1 ulasan:

  1. buat sesuatu untuk pulihkan imej LAWAS kita bukan semata-mata menang "Anugerah Majlis Daerah Paling Bersih dan Cantik Peringkat Negeri Sarawak" tetapi IMEJ LAWAS itu sendiri..juga perlu bersih daripada masalah sosial anak muda khususnya!!!

    BalasPadam