Malaysia, Brunei Tinjau Peluang Kerjasama Pelbagai Bidang

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Brunei mempunyai kesungguhan dari segi hubungan dua hala untuk meninjau peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya di Sarawak dan Sabah, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Beliau berkata Brunei telah mengadakan banyak perbincangan dengan kedua-dua negeri berkenaan bagi meninjau peluang bidang tenaga, telekomunikasi dan pertanian, termasuk hub halal, yang boleh diterokai bersama-sama.

"Kita dapati hubungan dua hala semakin bertambah erat dan kedua-dua pihak cukup serius dari segi pelaburan, terutamanya di antara Brunei dan Sarawak serta Sabah," katanya kepada Bernama dan RTM sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini mulai Isnin malam.

Perdaganan dua hala bernilai RM1.8 bilion dicatatkan pada tahun lepas dengan Malaysia mengeksport kebanyakan barangan elektronik, barangan pengilangan, kereta Proton dan sektor pertanian termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan ke Brunei.

Kini, katanya, ada dua atau tiga syarikat Malaysia yang menjalankan beberapa projek pembinaan, terutamanya projek perumahan kebangsaan Brunei di mana kerajaannya akan membina 20,000 unit rumah untuk rakyat.

UEM Builders mendapat projek untuk membina 4,000 unit di bawah projek berkenaan manakala Bina Puri Holdings Berhad terlibat dalam 2,000 unit, katanya.

Beliau juga berkata pengurnian Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (D.K), satu penganugerah Brunei yang cukup tinggi, oleh Sultan Hassanal Bolkiah kepada Najib di sini esok menunjukkan betapa eratnya hubungan di antara kedua-dua pemimpin itu.

Ia dikurniakan oleh Sultan Brunei kepada kerabat diraja atau ketua negara sahaja atas dasar perhubungan baik kedua-dua negara seperti Malaysia dan Brunei yang berjiran selain merupakan anggota rantau Asean.



Oleh Caroline Jackson

-- BERNAMA

Posted by Lawasian on Isnin, Julai 12, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: