Penduduk Kpg Limpaku Pinang kurang air
LIMBANG: Lebih 300 penduduk di pesisir laut Kampung Limpaku Pinang di sini, kini berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air minum berikutan musim kemarau yang melanda kampung mereka pada masa ini.
Keadaan itu mengakibatkan penduduk terpaksa berulang-alik ke bandar yang mengambil masa 30 minit perjalanan menggunakan perahu untuk mengangkut bekalan air.
Lebih buruk lagi, penduduk juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi kos minyak petrol yang disifatkan amat membebankan hanya untuk mendapatkan air minum.
Menurut penduduk yang menetap di kawasan muara Sungai Limbang itu, kehadiran mu-sim kemarau benar-benar menguji kesabaran mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, petani dan peniaga kecil.
Bagi Ketua Kampung Limpaku Pinang, Simat Zaman Sapar, penduduk begitu menderita sejak hampir tujuh minggu lalu berikutan tiadanya hujan di kawasan mereka.
“Penduduk terpaksa mengangkut 15 tong air sehingga 20 tong bagi muatan perahu besar untuk mendapatkan air di Jabatan Laut di sini.
“Walaupun mereka tidak mengenakan apa-apa bayaran, tetapi kami terpaksa menanggung kos minyak petrol untuk ke bandar bagi tujuan itu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Ranting PBB kampung berkenaan, menjelaskan bagi setiap perja-lanan, mereka memerlukan empat tong minyak dengan purata perbelanjaan RM32 hanya untuk mendapatkan air di bandar.
“Sekurang-kurangnya dalam seminggu hampir empat kali penduduk akan berulang-alik ke bandar mendapatkan bekalan air untuk minum, mencuci pakaian dan mandi.
“Tangki air hujan kepunyaan penduduk sudah kering akibat dilanda kemarau. Manakala air laut tidak dapat digunakan untuk mandi dan mencuci pakaian kerana airnya yang masin,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Simat menambah kemarau yang melanda daerah ini terutama di kampung mereka sejak lebih sebulan lalu memberi kesan terhadap kehidupan penduduk yang kebanyakannya berpendapatan rendah.
Justeru beliau mahu pihak kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek air (tadahan air hujan) di kampung pesisir laut itu.
“Projek berkenaan sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan sebelum ini. Cuma ia belum dilaksanakan lagi di kampung kami.
“Justeru penduduk amat berharap agar projek itu dapat dimulakan segera bagi memudahkan kami mendapatkan bekalan air terutama pada musim kemarau ini,” katanya.
Beliau berkata selain projek bekalan air, beliau berharap projek lain melibatkan bekalan elektrik juga dapat dilaksanakan demi kemudahan pendu-duk di kawasan pedalaman itu.
Pada masa sama beliau mahu jabatan kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) Bahagian agar dapat memberi bantuan kepada penduduk yang dilanda bencana alam itu.
“Kita tidak mahu hanya mangsa banjir saja yang diberi bantuan. Tetapi penduduk di kampung kami juga berdepan dengan bencana alam melibatkan musim kemarau ini.
“Ketiadaaan air amat memeritkan penduduk khususnya yang mendiami kawasan berhampiran dengan laut,” jelasnya.
Katanya lagi pihak JKM Bahagian perlu turun padang untuk menemui penduduk dan mengetahui masalah yang dihadapi mereka.
Jelasnya sebelum ini Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah pernah menghulurkan bantuan RM1,000 kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menampung kos minyak petrol yang digunakan penduduk.
Seorang lagi penduduk, Ladis Osman 70, berkata musim kemarau menyebabkan kepayahan kepada penduduk kerana terpaksa berulang-alik ke bandar untuk mendapatkan air.
‘’Kita terpaksa berbelanja hampir RM30 setiap kali pergi mendapatkan bekalan air di bandar. Bayangkanlah jika perahu dan enjin rosak, kami terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi sedangkan pendapatan tidak seberapa,” katanya.
Borneo Post
March 22, 2010, Monday
Tiada ulasan: