1Malaysia perlu hebahan meluas
Ia bagi tangkis dakwaan pihak yang cuba cetus sengketa, perasaan benci di kalangan rakyat kerana perbezaan agama dan kepercayaan
SUMBANGAN: Damien (kanan) menerima cek RM100,000 daripada Dr Chan sambil disaksikan oleh Koh (empat, kanan) dan tetamu kehormat yang lain dalam Majlis Semarak Perpaduan di Dewan Masyarakat Kampung Piasau Utara semalam.
MIRI: Berita baik semangat 1Malaysia harus dihebahkan bagi menangkis dakwaan negatif pihak berkepentingan yang cuba untuk men-cetuskan persengketaan dan perasaan benci di kalangan rakyat kerana perbezaan agama dan kepercayaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi) Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mahu berita baik semangat kerjasama penduduk pelbagai kaum di negara ini dihebahkan secara meluas agar dapat menjadi teladan dan contoh kepada rakyat untuk menguatkan semangat perpaduan mereka.
“Kita seharusnya lebih kerap menghebahkan berita baik (semangat 1Malaysia).
“Berita baik selalunya le-bih kerap berlaku berban-ding berita buruk. Sebagai contoh, setiap hari jutaan penduduk balik dengan selamat, tetapi jika berlaku satu kemalangan ia adalah satu berita buruk.
“Tetapi berita tentang jutaan penduduk balik rumah tidak dijadikan berita. Tetapi kita perlu melihat berita baik bagaimana setiap masyarakat boleh bekerjasama,” jelas beliau yang ditemui selepas me-ngunjungi tapak projek Holy Rosary Chapel Piasau Utara di sini, semalam.
Beliau memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk Piasau Utara yang bersama-sama membangunkan rumah ibadah seperti surau dan gereja di kawasan mereka, yang merupakan contoh terbaik masyarakat 1Malaysia.
Beliau berkata, semangat seperti itulah yang seharusnya dihebahkan dan dijadikan contoh dan ikutan oleh pelbagai kaum di Malaysia.
“Semangat kerjasama memang ada, semasa gereja di Taman Melawati dibakar, orang yang awal datang membantu ialah umat Islam di kawasan sekeliling,” tambah beliau.
Koh sebelum itu menyaksikan penyampaian sumbangan RM130,000 kepada jawatankuasa projek pembinaan Holy Rosary Chapel Piasau Utara kepada pengerusi Jawatankuasa Projek Damien Sintek.
RM100,000 disumbangkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan manakala RM30,000 disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia.
Selain itu, balu kepada Use Udau, iaitu Kain Tinggai, 65, menerima pampasan insurans berjumlah RM20,000 dari-pada Jabatan Perpaduan.
Use merupakan ahli Rukun Tetangga (RT) dan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Piasau Utara.
Ia disampaikan dalam majlis Semarak Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasio-nal (JPNIN) di Dewan Masya-rakat Kampung Piasau Utara, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah JPNIN Sarawak, Rajali Mudin dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.
by Steve Annuar
March 22, 2010, Monday
Tiada ulasan: