Sabotaj punca penduduk Jalan Punang sukar dapat air




LAWAS: Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas mengenal pasti wujud unsur sabotaj menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan secara terus ke kawasan sepanjang Jalan Punang di sini sehingga menyukarkan penduduk mendapatkan bekalan air sejak sekian lama.

Jurutera JKR Lawas, Norman Jan ketika mendedahkan perkara itu berkata tindakan sabotaj itu dipercayai dilakukan pihak bekalan air JKR Lawas sendiri yang menutup kunci air di saluran batang paip ke Punang.

“Kita mendapati ada penglibatan kakitangan pihak bekalan air JKR Lawas itu sendiri yang menutup kunci air di saluran batang paip ke kawasan Punang.

“Pihak kita telah mengenal pasti dan berdasarkan bukti kukuh, beberapa orang telah pun diambil tindakan untuk dibuang kerja,” katanya semasa lawatan kerja ke kawasan itu bersama Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agung semalam.

Norman berkata, isu bekalan air bersih ke kawasan Punang dan sepanjang Jalan Punang di daerah ini sememangnya mendapat perhatian serius JKR Lawas termasuk melakukan tindakan drastik khusus untuk mengenal pasti masalah utama yang membelenggu penduduk di kawasan tersebut.

“Selain berpunca daripada kebocoran saluran paip lama yang menyebabkan tekanan tidak sampai ke hujung Kampung Punang, unsur sabotaj juga menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati kemudahan air bersih.

“Perbuatan tersebut amat serius kerana seseorang kakitangan awam sama ada peringkat rendah atau sebaliknya harus menunjukkan budaya kerja yang baik dan mempunyai pemikiran positif,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan masyarakat di tempat atau kawasan mereka bertugas.

Norman turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melakukan perbuatan khianat sama ada kepada pihak kerajaan mahupun rakyat sendiri.


Posted on December 20, 2012, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Disember 20, 2012. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: