Harian Metro - Pesta Lawas

LAWAS: ‘Maitah ke Lawas, bisai hantap, mataga’ yang bermaksud ‘mari berkunjung ke Lawas, ia sangat cantik’ dari dialek etnik Lun Bawang dan Kedayan menjadi ucapan wajib bagi mengalu-alukan tetamu yang berkunjung ke Pesta Lawas yang dianjurkan setiap Mei.

Penduduk negeri ini, termasuk Brunei dan Sabah, berkumpul di tebingan Lawas untuk menyaksikan acara tradisi Pesta Lawas iaitu lumba perahu panjang di Sungai Batang Lawas bagi merebut gelaran Raja Batang Lawas.


Acara yang dulunya dikenali sebagai ‘Berjanuari’ ketika zaman penjajah sebelum ditukar kepada Lumba Perahu Hari Berjaya menjadi acara yang ditunggu-tunggu pelancong yang datang ke daerah ini.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, sejak diperkenalkan pada 1980-an, acara lumba perahu panjang kekal menjadi aktiviti wajib penganjuran pesta itu.


“Lebih 150,00 pengunjung menyaksikan acara lumba perahu dan Pesta Lawas yang bermula sejak kelmarin, sekali gus kedatangan pelancong luar ini menjadi landasan terbaik meningkatkan ekonomi penduduk di daerah itu.


“Bagi acara perahu panjang, seramai 3,000 peserta mengambil bahagian membabitkan 100 perahu panjang dalam acara yang dilangsungkan selama dua hari itu,” katanya.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang bertanggungjawab mempromosikan Pesta Lawas berkata, penganjuran acara itu memberi pulangan baik kepada penduduk Lawas.


“Pesta itu dapat menjana ekonomi golongan peniaga, menggalakkan kegiatan sukan, kesenian dan juga hiburan, malah setiap tahun ketibaan Pesta Lawas dinantikan dengan pelbagai aktiviti ditawarkan, walaupun kos meningkat namun ia berjaya juga dianjurkan dengan lancar,” katanya.

Bermula pada 2007, Pesta Lawas mengorak langkah menjadi temasya gemilang dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pementasan kebudayaan, sukan rakyat, jualan produk, pameran, kereta berhias dan tanglung.

Posted by Lawasian on Rabu, Mei 30, 2012. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: