Regata Lawas tidak jejas fokus
Putera FC tetap yakin beraksi cemerlang di Liga Limbang sebelum turun berkayuh
LIMBANG: Regata Lawas yang bakal ‘menggocak’ Sungai Lawas pada 25 hingga 27 Mei depan sama sekali tidak akan menjejaskan tumpuan Putera FC untuk beraksi cemerlang pada Liga Limbang yang sedang berlangsung rancak sekarang ini.
Malah penganjuran Liga Limbang 2012 disifatkan sebagai pentas untuk pemain memanaskan badan agar mampu beraksi gah bukan sahaja di padang malah di Sungai Lawas pada pesta itu nanti.
Penaung Putera FC, Awang Damit Ali Hasan tetap optimis anak-anak buahnya mampu memberikan yang terbaik untuk menjadi kumpulan teratas di tangga Liga Premier.
“Regata Lawas tidak sesekali menjejaskan tumpuan dan prestasi Putera FC untuk melakar kejayaan pada Liga Limbang ini.
“Malah ia merupakan indikator terbaik kepada Putera FC sebagai latihan pemanasan badan sebelum turun berkayuh di Sungai Lawas hujung Mei depan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pada perlawanan Putera FC menentang Gabungan Awat-Awat (Liga Premier) di Komplek Sukan petang kelmarin.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan dari Lawas itu terikat 1-1. Hadir sama pada perlawanan itu ialah Pengerusi Liga Limbang. Alidin @ Brahim Tawar.
Awang Damit turut memuji usaha Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) yang mengadakan Liga Limbang setiap tahun untuk mengasah bakat di kalangan pemain.
“Kita bersyukur dengan adanya Liga Limbang ini, kita dapat mengenalpasti pemain terbaik dari daerah Lawas untuk diketengahkan.
“Selain mewujudkan persaingan sengit, ia juga dapat memeriahkan lagi perjalanan Liga Limbang yang turut menjadi pentas buat pasukan dari daerah Lawas untuk menyerlah,” katanya.
Sementara itu, Tiger FC dan Sesco kini mendahului senarai Liga Super manakala Landas diikuti utera FC dan Gabungan Awat-Awat turut mengungguli carta Liga Premier.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/04/13/regata-lawas-tidak-jejas-fokus/#ixzz1txNJiSrt by Mastura Ismail. Posted on April 13, 2012, Friday
Tiada ulasan: