Kerajaan diminta pertimbang beberapa projek di Lawas

LAWAS: Kerajaan pusat diminta mempertimbangkan permohonan beberapa projek mega dilaksanakan di daerah ini bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada lebih 40,000 penduduk Lawas.

Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung berkata, senarai permohonan keseluruhan projek terbabit sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan pertama ketua-ketua masyarakat Bario dan Ba’Kelalan di Putrajaya kelmarin.

Henry berkata, antaranya melibatkan pembinaan Lapangan Terbang Lawas yang baru bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada yang sudah uzur, mengalami hakisan dan sering dilanda banjir.

“Kami berharap kerajaan dapat melihat semula projek-projek mega yang kami mohon untuk penduduk di Lawas terutama sebuah lapangan terbang di Lawas yang baru.

“Kami juga meminta kerajaan agar menggantikan jambatan gantung di Sungai Pengalih ke kawasan strategik kerana kedudukannya yang tidak kukuh untuk menampung keperluan sekarang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Henry berkata, kedudukan jambatan gantung yang berada di laluan Pan Borneo tidak sesuai selain struktur jambatan yang agak lama.

“Kami ada meminta kerajaan untuk menggantikan jambatan ini dan ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk membina jambatan di kawasan baharu bagi melancarkan lagi laluan di sepanjang Pan Borneo,” katanya.

Beliau berkata, isu pendidikan turut dikemukakan pada pertemuan sama termasuk keperluan sebuah sekolah teknikal untuk dibina di daerah Lawas.

“Kita memerlukan sebuah institusi berstatus diploma untuk dibina di Lawas bagi mengurangkan penghijrahan pelajar ke luar.

“Pada masa ini pelajar tidak mempunyai pilihan lain untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal di sini kerana Lawas hanya mempunyai GIATMARA untuk anak-anak tempatan,”jelasnya.

Selain itu, Henry turut berharap kerajaan dapat membina sebuah sekolah menengah di kawasan tanah tinggi di Ba’Kelalan.

Lawas hanya mempunyai empat sekolah menengah pada masa ini dan pelajar di Ba’Kelalan terpaksa menyambung persekolahan di peringkat sekolah menengah sama ada di SMK Sundar atau SMK Lawas.

Dengan adanya sekolah menengah di Ba’Kelalan ia akan dapat menjimatkan kos penduduk di tanah tinggi yang sebelum ini terpaksa berulang-alik ke bandar Lawas.

Pada pertemuan tersebut beliau mahu kerajaan meneruskan projek pembinaan jalan raya dari Ba’Kelalan sehingga sempadan Indonesia dan jalan raya menghubungkan Ba’Kelalan ke kawasan Bario.

Katanya pembinaan jalan raya di bawah Projek Jiwa Murni yang sudah dilaksanakan sekarang hanya menghubungkan Long Lopeng ke Ba’Kelalan sejauh 75 kilometer.

Selain projek mega, Henry menjelaskan beliau turut menyenaraikan beberapa projek kecil untuk dilaksanakan di daerah Lawas.

“Kami sudah menyerahkan senarai beberapa projek kecil melibatkan pembinaan jalan-jalan kampung, jeti dan jambatan untuk dilaksanakan di daerah ini,” jelasnya.

Beliau optimis Perdana Menteri akan memberi perhatian terhadap senarai permohonan berkenaan untuk dibina di Lawas selari dengan hasrat kerajaan yang memberi tumpuan kepada Program Transformasi Luar Bandar dan gagasan 1Malaysia.

Read more: http://www.theborneopost.com/2011/11/24/kerajaan-diminta-pertimbang-beberapa-projek-di-lawas/#ixzz1ej0qljO0
Posted on November 24, 2011, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, November 24, 2011. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: