Pertunjukan akrobatik ski air sempena Regata Sarawak

KUCHING: Pengunjung Regata Sarawak 2011 ini akan berpeluang untuk menyaksikan pertunjukkan hebat akrobatik ski air di Sungai Sarawak, di Tebingan Kuching, bermula 8 malam, Jumaat ini.

Acara menarik ini akan dilakukan oleh pasukan yang dijemput khas iaitu ‘The Star of Florida’, yang sering mengadakan pertunjukkan serupa di beberapa negara seperti Jepun, Jordan, Columbia, Turki, Mesir, Las Vegas dan Norway.

Menurut kenyataan akhbar semalam, acara ini merupakan salah satu acara pengisian Regata Sarawak 2011 yang berlangsung dari Khamis ini hingga Ahad depan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Acara itu akan turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta pembesar negeri yang lain.

Selain itu, antara acara menarik pada malam yang sama adalah pertunjukan 48 buah perahu berhias, pertunjukkan pentas oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, pertunjukan cahaya laser dan pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Pentarama Jabatan Penerangan akan menghiburkan orang ramai dengan persembahan mereka pada Khamis ini jam 7 malam di tempat yang sama.

Hari Malaysia disambut 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia pada tarikh sama tahun 1963.

Ia menandakan penggabungan Sarawak, Sabah, Tanah Melayu dan Singapura dalam membentuk Malaysia. Bagaimanapun, Singapura menarik diri dan menjadi negara republik pada tahun 1965. Mulai tahun lepas, 16 September diisytiharkan cuti umum negara.


Posted on September 14, 2011, Wednesday

Posted by Lawasian on Rabu, September 14, 2011. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: