Jambatan Sungai Pandaruan eratkan hubungan Malaysia-Brunei: PM
BANDAR SERI BEGAWAN: Pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Pandaruan yang menghubungkan Limbang di Malaysia dan Temburong di Brunei pada tahun ini dengan kos RM25 juta akan mengeratkan lagi hubungan antara Brunei dan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jambatan itu akan memudahkan kesalinghubungan antara Brunei, Sabah dan Sarawak.
"Pihak Brunei berminat untuk adakan majlis peletakan batu asas secepat mungkin. Saya harap projek ini dapat berjalan segera," katanya kepada pemberita pada akhir lawatan beliau sempena rundingan tahunan dengan Sultan Brunei di sini hari ini.
Pembinaan jambatan itu adalah antara perkara yang diputuskan untuk dilaksanakan sewaktu rundingan tahunan antara Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dengan Perdana Menteri di Istana Nurul Iman malam tadi.
Perdana Menteri juga berkata, Brunei dan Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam bidang maritim terutama yang membabitkan kawasan tangkapan ikan nelayan tradisional.
Jambatan Pandaruan dijangka siap 2013: Shaziman
2011/09/13
LIMBANG: Jambatan yang dipersetujui untuk dibina merentasi Sungai Pandaruan yang menyempadani Sarawak di Malaysia dan daerah Temburong di Brunei dekat sini, dijangka siap menjelang 2013, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, hari ini.
Beliau berkata pembinaan jambatan itu yang ditetapkan kira-kira 200 meter panjang dan 60 meter lebar dicadang bermula pada April tahun depan.
"Lima kontraktor dari Brunei dan lima dari Malaysia akan dipelawa membida tender untuk membina jambatan itu yang dijangka membabitkan kos kira-kira RM25 juta," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan projek itu di sini hari ini.
Turut menyertai beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Komunikasi Brunei, Dato Seri Awang Abdullah Datuk Paduka Bakar, Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.
"Dengan siapnya jambatan itu akan menamatkan penantian yang panjang oleh kalangan kembara antara Sabah, Sarawak dan Brunei," katanya.
Pemeteraian perjanjian untuk memulakan pembinaan jambatan itu dilakukan antara Shaziman dan Awang Abdullah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan majlis berkenaan.
Sementara itu, Awang Tengah memberitahu pemberita jambatan itu akan menambah baik kesalinghubungan di bahagian utara Sarawak, Brunei dan selatan Sabah.
Beliau berkata jambatan itu semestinyalah akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi penduduk di Sabah, Sarawak dan Brunei. - BERNAMA
Tiada ulasan: