Kolej Perguruan dicadanggkan di Lawas
STU komited mahu sedia latihan untuk bakal guru warga tempatanOleh Mohd Norhadie Sahari
MIRI: Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU) bercadang untuk menambah dua buah Kolej Latihan Perguruan di Sarawak untuk menyediakan latihan kepada bakal-bakal guru warga tempatan.
Presidennya, William Ghani Bina berkata antara kawasan yang dicadang untuk tujuan itu masing-masing di Sri Aman dan Lawas.
“Kolej di Lawas akan menjadi pusat latihan kepada pelatih dari Sabah dan Sarawak sementara di Sri Aman pula adalah untuk pelatih warga tempatan terdiri daripada kaum Bumiputera,” jelasnya.
Menurutnya, bermula tahun ini sekolah di Sarawak dan Sabah akan memerlukan guru warga tempatan kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos sebaliknya mereka lebih memahami budaya dan bahasa tempatan.
“Kita melihat banyak faedah sekiranya mengambil ramai guru tempatan kerana mereka bukan sahaja kenal budaya dan bahasa sebaliknya mereka juga mudah diterima oleh pelajar tempatan,” jelasnya.
Dalam masa sama, STU turut mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di sekolah-sekolah bagi meringankan beban ibu bapa yang turut menjadi guru di sekolah terbabit.
“Ibu bapa (yang juga guru) boleh mengawasi anak-anak mereka di sekolah sama kerana apa yang penting ialah mereka boleh bekerja dengan tenang tanpa memikirkan perkara remeh-temeh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Ke-9 STU Bahagian Miri di sini kelmarin yang turut dihadiri kira-kira 150 guru dari Miri, Subis, Bekenu dan Baram.
Dua kolej perguruan dicadangkan/Posted on May 3, 2011, Tuesday
Tiada ulasan: