Jadikan Al-Quran panduan hidup
Umat Islam akan mencapai kejayaan sekiranya berdisiplin: Awg Tengah
LAWAS: Umat Islam perlu memahami isu kandungan kitab Al-Quran dan menjadikannya panduan dalam kehidupan, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, Al-Quran menuntut agar umat Islam memberi perhatian kepada dunia dan akhirat, sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Barang siapa yang memahamkan Al- Quran, dia dapat mentafsir sejumlah besar ilmu.”
“Al-Quran sentiasa terpelihara ketulenannya, oleh itu umat Islam perlu memperkemaskan diri dan kembali kepada Islam dengan memahami kandungan Al-Quran.
“Islam mengajar umatnya supaya berdisiplin dan tatacara itu dapat dirujuk kepada Al-Quran dan juga Sunah.
Malahan, ketika umat Islam berpegang teguh kepada Kitabullah, mereka telah mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Ke-51 di Dewan Seri Sari, Hotel Seri Malaysia Lawas malam kelmarin.
Hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Putit Matzen, isteri Awang Tengah Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat dan jemputan lain.
Awang Tengah menjelaskan lagi, berlandaskan Al-Quran, Islam menjadi tamadun yang berjaya melahirkan para ilmuan sekali gus menjadi rujukan pelbagai pihak di negara Barat.
“Kita perlu tahu kepentingan dan kandungan Al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat terdiri daripada 114 surah,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, Islam memandang lelaki dan wanita tanpa diskriminasi gender, melainkan mereka adalah golongan orang yang beriman.
“Dalam Islam juga kita dibolehkan menegur pemimpin asalkan ia dilakukan dengan adab sopan dan kaedah tertentu,” jelasnya.
“Demikian juga yang di luar daripada ibadat, seharusnya teguran hendaklah dibuat dengan baik dan beretika, barulah masyarakat aman dan tenteram.”
Katanya lagi, semua itu dilakukan agar umat Islam dapat memelihara persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka.
Seramai 12 qari dan 12 qariah mengambil bahagian pada majlis tilawah Al-Quran peringkat negeri pada kali ini
by Mastura Ismail. Posted on May 11, 2011, Wednesday
Posted by Lawasian
on Rabu, Mei 11, 2011.
Filed under
Agama,
Feature,
MTAQ Lawas
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
You can leave a response or trackback to this entry
Tiada ulasan: