40 terkorban dalam gempa bumi, tsunami besar di Jepun

TOKYO: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh (setakat jam 8.30 malam waktu Malaysia) dan 39 orang hilang dalam kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 yang melanda Jepun semalam, sekali gus mencetuskan tsunami gergasi di sepanjang lingkaran Lautan Pasifik.

KEMUSNAHAN BESAR: Gambar kombinasi menunjukkan antara kemusnahan besar dan kebakaran yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi kuat dan tsunami besar yang melanda Jepun, semalam. Gempa bumi tersebut yang bermagnitud 8.9 adalah yang terkuat melanda Jepun sejak 140 tahun lalu, sekali gus mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.­ — Gambar Reuters

Agensi Polis Kebangsaan Jepun berkata, 244 orang dilaporkan cedera dan menjangka angka kematian akan meningkat. Badan penyiar kerajaan, NHK pula meletakkan angka kematian pada 44 orang.

“Kemusnahan begitu besar, maka kami memerlukan masa untuk mengumpulkan data,” kata agensi berita rasmi tersebut. Polis di wilayah Iwate, yang terletak berhampiran pusat gegaran, mengesahkan 17 kematian di situ.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Kementerian Luar membuka bilik operasi dan mengaktifkan hotline di pejabat kedutaan Malaysia di Tokyo bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini berhubung kejadian itu.

Nombor telefon yang boleh dihubungi di Wisma Putra di sini ialah 03-8887 4570, 03-8887 4770, 03-8889 2746 dan 03-8889 2830, manakala kedutaan Malaysia di Tokyo boleh dihubungi dengan menelefon +81334763840.Dalam satu kenyataan di sini semalam, kementerian itu berkata pejabat kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau dengan rapi perkembangan bencana itu dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini mengenainya.

“Setakat ini tiada laporan mengenai kehilangan nyawa di kalangan rakyat Malaysia akibat bencana itu, dan semua pegawai kementerian serta kaum keluarga mereka dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.
Posted on March 12, 2011, Saturday

Posted by Lawasian on Sabtu, Mac 12, 2011. Filed under , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: