Sukan galak perkembangan positif dalam diri pelajar

MIRI: Sukan merupakan salah satu elemen yang harus disemai di kalangan pelajar kerana ia mampu menjadi penggalak perkembangan positif dalam diri mereka.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, semangat ‘esprit de corps’ harus disemarakkan dan elemen penting dalam usaha membangunkan sukan sekolah.

“Kementerian Pelajaran Malaysia amat serius dan komited dalam usaha membangunkan sukan di sekolah dengan menekankan penglibatan setiap murid dalam sukan,” kata Lee dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia Chu Fatt petang semalam.

Beliau bercakap demikian semasa perasmian Majlis Sukan Tahunan Ketujuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau di Stadium Miri.

Lee berkata, sukan merupakan salah satu daripada aktiviti sihat yang boleh merapatkan hubungan, meningkatkan kesepakatan serta menggalakkan semangat saling bantu-membantu.

“Penglibatan adalah lebih menjurus dan merangkumi penyertaan pelajar itu sendiri, pemahaman dan pengetahuan mengenai sukan berkenaan,” kata Lee.

Katanya, sukan sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan untuk terus dibangunkan dalam usaha melahirkan bakat baru yang berpotensi serta menggalakkan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal di kalangan rakyat.

Pada masa sama, Lee menggambarkan konsep 1Malaysia sebenar yang terpamer melalui sukan iaitu penglibatan tenaga pelajar pelbagai kaum bagi mengharumkan nama sekolah.

Oleh yang demikian, ujarnya, kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak sekolah sendiri, ibu bapa dan masyarakat harus diperkukuhkan demi memastikan semua agenda termasuk aktiviti sukan dan kokurikulum sekolah yang lain berjaya dilaksanakan.

Temasya sukan tahunan SMK Merbau berlangsung selama dua hari bermula semalam dan melibatkan kira-kira 500 pelajar sekolah berkenaan.

Sekolah terbabit melakar pelbagai pencapaian termasuk tiga daripada pelajarnya terpilih mewakili bahagian Miri ke peringkat negeri serta seorang daripada pelajarnya, Doreen Francis berjaya mewakili Malaysia ke Brunei dalam Kejohanan Olahraga Remaja Borneo.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengetua Kanan SMK Merbau, Ang Siew Jin, guru-guru serta para pelajar.


Posted on February 10, 2011, Thursday

Posted by Lawasian on Khamis, Februari 10, 2011. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: