Kementerian mahu pembinaan sekolah di S’wak lebih teliti
MIRI: Kementerian Pelajaran mahu pembinaan bangunan sekolah di Sarawak pada masa depan dibuat secara lebih teliti dengan mengambil kira ciri-ciri keselamatan tanah untuk mengelak masalah seperti retakan pada struktur bangunan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kajian tanah khususnya di kawasan tanah tinggi di pedalaman perlu diberi tumpuan utama bagi memastikan bangunan sekolah itu tidak retak selepas beberapa tahun dibina.
Beliau berkata, sebagai contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Long Luping dan SK Long Sukang di Lawas yang menelan kos pembinaan berjuta-juta ringgit, namun tidak sampai tujuh tahun bangunan sekolah tidak dapat digunakan kerana masalah pemendapan tanah yang menyebabkan bangunan retak.
“SK Long Luping misalnya, siap pada 2005 dan diserahkan kepada kementerian membabitkan kos RM5 juta, namun akhirnya dua bangunan tidak dapat digunakan iaitu blok pentadbiran dan asrama.
“Masalah utama ialah pemendapan tanah kerana kebanyakan sekolah tersebut dibina di atas tanah tinggi. Kedua-dua sekolah tersebut dibina di kawasan pergunungan.
Jadi kita harap, masalah ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai punca utama kebanyakan sekolah di Sarawak mengalami masalah keretakan pada bangunan sehingga tidak dapat digunakan.
Mengulas lanjut, Dr Puad berkata untuk itu kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk SK Long Luping dan RM2.5 juta lagi untuk SK Long Sukang bagi mengatasi masalah cerun yang mendap dan menaik taraf kemudahan di sekolah tersebut.
“Tender untuk SK Long Luping akan dibuka minggu depan, manakala SK Long Sukang yang membabitkan pembinaan bangunan sekolah pasang siap sudah 40 peratus dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan,” ujarnya.
Pada lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM510,000 untuk membantu Sekolah Menengah Agama Miri di Bakam yang bumbung asrama terbakar tahun lepas.
Sementara itu, Dr Puad berkata Kementerian Pelajaran meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina bangunan kelas sementara dan kajian pemendapan tanah di SM Sains Miri.
Beliau berkata, daripada jumlah itu RM1.4 juta untuk membina kelas sementara manakala bakinya RM600,000 untuk kajian struktur tanah di sekolah tersebut yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau memberitahu, pembinaan kelas sementara itu membabitkan empat blok bangunan diperbuat daripada fiber komposit yang mempunyai lapan buah bilik kelas, tambahan kepada 12 bilik kelas sekarang.
“Kita akan segerakan pembinaan kelas fiber komposit ini untuk membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar.
“Manakala kajian pemendapan tanah oleh JKR akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan ini. Melalui kajian ini nanti, barulah kita tentukan apa jenis bangunan yang sesuai sama ada bangunan konkrit atau kabin menggunakan fiber komposit,” katanya.
Sebelum ini, pelajar dan kakitangan SM Sains Miri diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Baram berikutan terdapat bangunan yang retak dan tidak selamat digunakan.
Malah, JKR turut mengesahkan tiga bangunan iaitu bilik kelas, surau dan bengkel tidak selamat digunakan kerana berlaku keretakan disebabkan pemendapan tanah.
Dr Puad berkata, sebelum ini kementerian telah membatalkan cadangan untuk memindahkan sekolah tersebut dan mengarahkan agar sesi persekolahan di SM Sains Miri diteruskan.
“Oleh sebab cadangan berpindah itu dibatalkan, maka kementerian bersetuju meluluskan peruntukan tersebut untuk membina bangunan sementara menunggu bangunan kekal,” katanya sambil menambah bangunan kekal itu nanti akan ditentukan oleh JKR.
Borneo Poston February 19, 2011, Saturday
Tiada ulasan: