Lawas: PDK akan dibina untuk OKU
LAWAS: Masalah ketidakselesaan yang dihadapi anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) Sekolah Kebangsaan Pusat Lawas di sini akan berakhir dengan pembinaan Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang baru tahun ini.
Pengerusi PDK Lawas, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata pada masa ini semua pelajar terpaksa ditempatkan di KKBP yang berdepan dengan pelbagai kekurangan kemudahan pembelajaran.
Beliau berkata kerajaan memandang serius terhadap keadaan struktur kelas yang kurang mesra kepada pelajar terutamanya dari aspek lokasi kelas berkenaan ditempatkan.
“Kita sedar bahawa pihak kerajaan sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada golongan OKU, malah pelbagai kemudahan dan infrastruktur telah diwujudkan.
“Dengan pembinaan PDK tahun ini, kita yakin segala masalah yang membelenggu mereka selama ini bakal diatasi dan para pelajar juga dapat menjalani sesi pembelajaran dengan sempurna,” jelasnya.
Morliah berkata demikian ketika melakukan lawatan ke kelas berkenaan di sini kelmarin.
Turut sama ialah Guru Besar SK Pusat, Yusuf Sitam.
Beliau menambah agensi berkaitan perlu mengambil inisiatif terbaik untuk menangani situasi tersebut termasuk menempatkan guru terlatih untuk mengendalikan kanak-kanak OKU.
“Ini penting bagi perkembangan pembelajaran kanak-kanak OKU ke arah pembentukan insan yang cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan seharian,” tambahnya.
Pada masa ini KKBP Lawas mempunyai seramai 33 pelajar berdaftar sejak ia ditubuhkan pada tahun 1990 melalui bimbingan enam tenaga pengajar.
KKBP Lawas masih memerlukan beberapa kemudahan utama untuk pelajar OKU.
Ia melibatkan laluan pejalan kaki yang mesra OKU, peralatan terapi, sukan, pagar besi, peralatan percetakan, penghawa dingin, perabot meja dan kerusi untuk pelajar serta bahan bantuan mengajar yang sesuai.
Katanya lagi anak-anak OKU juga mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan dan belajar berdikari dalam meniti dunia masa depan yang lebih cerah.
Penglibatan masyarakat khususnya ibu bapa dan pendidik jelasnya penting dalam memastikan kejayaan mereka dalam kehidupan tanpa terlalu bergantung sepenuhnya kepada keluarga.
Beliau menjelaskan lagi, dokongan serta sokongan daripada syarikat dan golongan korporat perlu terus meningkat, agar semakin ramai golongan istimewa ini akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan badan-badan sukarela dan NGO supaya sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan rakyat terutamanya golongan OKU dalan melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.
Dalam perkembangan lain beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Lawas, mahu persatuan itu terus aktif dalam memberikan sumbangan melalui perlaksanaan pelbagai program.
“Bagi mencapai sasaran itu setiap ahli harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan perkembangan yang berlaku termasuk isu-isu semasa untuk meningkatkan kehidupan mereka.
“Kita boleh manfaatkan segala pembangunan di daerah ini dengan melengkapkan anak-anak kita dengan kemahiran yang sesuai seandainya mereka tidak begitu menyerlah dalam bidang akademik,” ujar beliau lagi.
PDK Lawas akan dibina, bantu beri keselesaan kepada anak-anak OKU
Posted on January 24, 2011, Monday
Tiada ulasan: