RM77 juta memacu pembangunan Limbang
Peruntukan adalah untuk laksana pelbagai kemudahan, infrastruktur asas penduduk di utara S’wak
LIMBANG: Peruntukan berjumlah RM77 juta yang diumumkan kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) mampu memacu Limbang ke arah pembangunan lebih mapan untuk dinikmati penduduk di utara negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan berkenaan disediakan untuk melaksana pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas yang menjadi keperluan utama penduduk di kawasan utara negeri ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu sejumlah RM22 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk pembangunan pendidikan termasuk prasekolah di bahagian ini.
“Kerajaan menekankan pembangunan yang seimbang untuk rakyat.
“Justeru di bawah RMK-10 kerajaan sudah merancang dan mengatur strategi dengan menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.
“Saya yakin segala keperluan kemudahan asas melibatkan jalan raya, sekolah, masjid, kemudahan riadah akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Jamuan Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah di sini malam kelmarin.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan ke-namaan lain.
Menyentuh mengenai masalah kekurangan doktor pakar yang menghambat penduduk di sini sejak sekian lama tambahnya, kerajaan akan melihat perkara itu untuk diselesaikan berdasarkan keperluan penduduk.
“Masalah (doktor pakar) itu akan kita lihat secara lebih serius dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan.
Ini termasuk menyarankan menteri kesihatan sendiri turun padang ke Limbang melihat isu berkenaan,” jelasnya.
Selain itu beliau memberitahu bahawa daerah Limbang dan Lawas bakal menikmati kemudahan rawatan dan perubatan melalui Klinik 1Malaysia sebagaimana yang sudah dikecapi sesetengah penduduk di Semenanjung.
Pada masa yang sama beliau turut mengumumkan projek istimewa di negeri ini apabila kerajaan bakal melaksana klinik bergerak menggunakan sungai di Sarawak.
“Klinik ini akan bergerak melalui sungai dengan memberi rawatan kesihatan di kampung-kampung terbabit.
“Bagi tujuan itu Sungai Baram dipilih sebagai kawasan permulaan untuk kemudahan ini nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata negara perlu melakukan langkah berani untuk merancang dan mengatur strategi terperinci bagi meningkatkan dan melipatgandakan pendapatan rakyat.
“Strategi pembanguan lebih hebat perlu dirangka dan diatur bagi memastikan Malaysia terus maju dalam tempoh 10 tahun akan datang agar tidak tertinggal dengan negara lain.
“Kerajaan juga mengatur strategi untuk meningkatkan kadar pembangunan apabila Perdana Menteri membawa pendekatan melalui Program Transformasi Kerajaan di bawah enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
NKRA katanya, bukan omongan kosong malah berjaya mencapai sasaran dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau menarik perhatian bahawa kadar jenayah, rasuah berjaya dikurangkan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan selamat.
Sistem pendidikan juga jelasnya akan terus diberi tumpuan selain isu pengangkutan dan infrastruktur asas demi keselesaan rakyat.
Selain itu katanya, Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan kerajaan telah berjaya memacu dan melonjakkan ekonomi sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan untuk membangunkan dan memajukan negara.
Gambar:
TERTARIK: Muhyiddin sempat membeli sayur paku pakis di Pasar Tamu Limbang semalam.
by Mastura Ismail. Posted on December 24, 2010, Friday
Posted by Lawasian
on Jumaat, Disember 24, 2010.
Filed under
Breaking News,
Pembangunan
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
You can leave a response or trackback to this entry
Tiada ulasan: