Manifesto BN mahu jadikan Sarawak 'hebat'
KUCHING 5 Okt. - Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri akan datang bakal mengandungi perancangan yang realistik di samping mudah difahami rakyat.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang masih berteka-teki dengan tarikh pilihan raya berkata, manifesto berkenaan tidak tertumpu kepada usaha pembangunan ekonomi semata-mata.
Beliau berkata, sebaliknya ia adalah usaha untuk mengekalkan kesungguhan Sarawak menjadi sebuah negeri yang 'hebat'.
Justeru Abdul Taib menegaskan, beliau ingin memastikan asas-asas negeri ini masih kukuh dengan memiliki kerajaan yang stabil dan masyarakatnya hidup bersatu padu serta mengingatkan rakyat supaya mempertahankan usaha berkenaan.
''Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang saya tidak boleh laksanakan dan sama ada saya boleh atau tidak (buat) ia bergantung kepada maklum balas rakyat dan saya perlu berhati-hati mengenainya.
''Justeru saya perlu menghasilkan suatu manifesto bagi Sarawak yang mudah untuk difahami rakyat dan saya perlu menyampaikan perkara ini (manifesto) serta bagaimana cara terbaik untuk mempersembahkannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Universiti Teknologi Swinburne di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, beliau masih belum memutuskan mengenai tarikh pilihan raya negeri.
Sebaliknya secara berseloroh beliau berkata, soal menentukan tarikh pilihan raya adalah bagaimana seseorang itu memilih tarikh perkahwinan kerana ia perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya.
Malah beliau menarik perhatian, tindakannya yang kerap turun padang serta bertemu rakyat termasuk masyarakat Cina sejak kebelakangan ini adalah amalan biasa yang beliau lakukan terhadap penduduk di negeri ini.
''Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, saya merupakan seorang ketua menteri bukan sahaja kepada satu kaum malah kepada kaum-kaum lain di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Abdul Taib berkata, bagi mengelak timbul salah faham di kalangan masyarakat, kerajaan negeri akan memperbaiki sistem penyampaian dan penerangan kepada rakyat mengenai fungsi sebenar kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
''Namun tanggapan (sistem penyampaian yang teruk) itu tidak semuanya benar kerana tidak semua tempat yang saya pergi menunjukkan rakyat marah akan kerajaan kerana sebenarnya ia hanyalah gambaran yang salah diberikan pihak pembangkang," jelas beliau.
Tiada ulasan: