SCORE koridor paling berjaya: KM

KUCHING: Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diiktiraf sebagai koridor pembangunan paling berjaya menarik ramai pe-labur asing berbanding empat lagi koridor pembangunan di seluruh negara.


HEBAT: Taib dan Muhammed (kanan) menunjukkan majalah ‘Malaysian Corridor’ edisi keempat pada majlis pelancaran majalah itu di Kuching, semalam. Turut kelihatan Dr Chan (kiri).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata demikian dengan melihat persekitaran pembangunan Asia memandangkan harga bahan api fosil terus meningkat.

“Ini menjadikan projek pembangunan hidroelektrik alternatif tenaga terbaik yang membolehkan program menjana tenaga berjalan dengan lancar dan kita di-jangka dalam menjana 28,000 megawatt tenaga menjelang 2030.

“Kaitan antara tenaga dan permintaan industri dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik pada masa lalu, membolehkan SCORE menjadi tarikan utama pelabur… kita tidak seharusnya terkejut apabila mendengar SCORE menjadi koridor paling berjaya menarik pelabur berbanding koridor-koridor lain di Malaysia,” katanya.

Menurutnya SCORE dijangka dapat menarik pe-laburan kira-kira RM340 bilion untuk 20 tahun akan datang.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan majalah ‘Malaysian Corridor’ di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Majalah baru itu diterbitkan Corridor Development Corporation Bhd (CDC) yang mempromosikan peluang pelaburan dan perniagaan di lima koridor negara serta hubungan ekonomi dijana koridor-koridor tersebut.

Sementara itu pengerusi Kumpulan CDC Datuk Muhammed Kassim terdahulu dalam ucapannya berkata dengan pelaburan hampir RM60 bilion sejak penubuhannya, SCORE menyediakan peluang perniagaan dan pelaburan yang berpotensi di negeri ini.

“Sejumlah satu perlima daripada jumlah keseluruhan pelaburan RM307 bilion yang dijangka diperolehi SCORE (menjelang 2030).

“Kita menyaksi dan membaca banyak mengenai pelaburan baru dari Timur Tengah, Timur Jauh, Eropah, Australia dan AS (Amerika Syarikat) datang ke Sarawak tahun ini.

“Ini suatu yang amat menggalakkan, kerana membawa makna banyak peluang pekerjaan serta pelaburan untuk rakyat Sarawak, mencipta banyak kekayaan serta kawasan pertumbuhan baru untuk merancakkan lagi ekonomi negeri ini,” katanya.

Sementara itu katanya dalam usaha meluaskan lagi pasaran majalah tersebut Muhammed berkata CDC akan terlibat dalam Expo Perniagaan Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysi-Filipina dan Asia Timur (BIMP-EAGA) dan Persidangan Business 2010 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang bermula hari ini.

“Memandangkan entiti perniagaan serta majalah perdagangan dan pelaburan yang semakin popular, kita seharusnya membantu kerajaan negeri mewujud dan menerokai peluang-peluang perniagaan di Sarawak, melebarkan wilayah BIMP-EAGA menerusi aktiviti mempromosi aktiviti pelaburan dan juga majalah,” tambahnya.

Majalah tersebut kini boleh didapati di pasaran negeri ini dengan harga RM12 senaskah.
September 28, 2010, Tuesday

Posted by Lawasian on Selasa, September 28, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: