Buku: The Secret Man
Minat saya terhadap skandal Watergate yang telah menjatuhkan Presiden Richard Nixon berputik selepas saya menonton filem All The President’s Men, diperkuat oleh lakonan mantap Robert Redford sebagai Bob Woodward dan Dustin Hoffman sebagai Carl Bernstein, 2 orang wartawan muda di akhbar The Washington Post. Semenjak itu saya mula berminat mengikuti keseluruhan kisah pembongkaran skandal oleh dua orang wartawan muda ini. Barangkali minat ini juga ditambah dengan rasa kagum terhadap kebebasan akhbar di Amerika Syarikat pada ketika itu sehingga mampu menghenyak institusi presiden AS.Kepada mereka yang mengikuti sejarah pembongkaran ini, nama Deep Throat adalah sangat penting. Deep Throat adalah nama samaran yang digunakan oleh sumber dalaman yang membantu wartawan akhbar berpengaruh The Washington Post, Woodward dan Bernstein menjejak penipuan dan penyelewengan Presiden Nixon.Buku ini akhirnya mendedahkan peribadi sebenar Deep Throat, iaitu Mark Felt, orang nombor 2 paling berkuasa di dalam Federal Bureau of Investigation, FBI. Mark Felt adalah seorang ejen FBI yang berpegang teguh dengan pendiriannya. Tindakan beliau membantu Woodward dengan membekalkan maklumat-maklumat yang sensitif tentang White House dan pentadbiran Nixon berpunca daripada sikap Nixon sendiri yang ingin menguasai FBI dalam meluaskan pengaruh dan penguasaan politiknya di Amerika Syarikat.
Buku ini telah ditulis hampir 33 tahun selepas kejadian itu berlaku. Sebagaimana yang diakui sendiri oleh penulis buku ini, identiti Deep Throat terus menjadi tanda tanya oleh masyarakat umum Amerika dan hanya diketahui oleh 6 orang tertentu sahaja seperti diri penulis dan isterinya, Bernstein,editor Benjamin Bradlee, editor Leonard Downie Jr., dan seorang peguam di Jabatan Negara Amerika .
Buku ini lebih dikhususkan kepada dilema yang dialami oleh penulis, sama ada ingin mendedahkan identiti tersebut atau terus mendiamkan diri. Walaupun Woodward ingin mendedahkan identiti tersebut, beliau menghadapi masalah memandangkan Mark Felt yang telahpun menamatkan tugasnya dengan FBI kini berada pada usia yang sangat tua dan mengalami kesukaran untuk mengingati banyak fakta penting berhubung pembongkaran skandal Watergate itu. Bagi Woodward, kemampuan Felt untuk mengingati fakta-fakta berhubung skandal itu adalah sangat penting bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa sememangnya Mark Felt adalah Deep Throat yang identitinya telah berjaya dipertahankan selama ini.
Akhirnya, pada tahun 2005, Felt tampil untuk mendedahkan dirinya menerusi sebuah rencana bertajuk “ I’m the guy the used to call Deep Throat” yang ditulis oleh peguamnya dan diterbitkan di edisi Julai majalah Vanity Fair. Pengakuan Felt diperakui oleh Benjamin Bradlee, editor akhbar The Washington Post yang memikul tanggung jawab penuh membenarkan penyiaran makalah demi makalah yang menyerang upaya pentadbiran Presiden Nixon untuk menutup skandal pada saat skandal itu memuncak oleh dua orang wartawan mudanya, Woodward dan Bernstein.
Antara perkara penting yang dirakamkan dalam buku ini adalah detik-detik awal pertemuan Woodward dan Felt, perjumpaan sulit yang berlaku pada lewat malam antara keduanya bagi sesi penyaluran maklumat dan pergaduhan idea antara keduanya sepanjang proses itu berlaku.Sekiranya anda menonton filemnya, barangkali pemerian Woodward di dalam buku ini adalah lebih terperinci dan sarat dengan unsur dramatik.
Pada hemat saya, tema penting buku ini adalah pergulatan hati seorang yang menyimpan rahsia penting tentang perjalanan negaranya. Seperkara yang boleh dijadikan iktibar bagi saya adalah etika kewartawanan yang dipegang oleh Woodward. Beliau begitu tegas dengan prinsip bahawa setiap maklumat yang diperolehi perlulah memiliki nilai atribut, iaitu boleh dirujuk kepada seseorang sebagai sumber dan bukanlah hanya bersifat khabar angin mahupun serkap jarang, jauh sekali yang bersifat fitnah.
Penulis : Bob Woodward
Resensi Oleh : Mohd Yusni Khusaini Dato’ Mohd Yussof
Tiada ulasan: