Marahkan lebah pokok 170 tahun ditebang!
Setelah lebih enam tahun berhadapan dengan gangguan dan serangan lebah, beberapa penduduk di Kampung Limpaong, Limbang di sini bertindak menebang sepohon pokok meritus berusia 170 tahun yang dipercayai menjadi ‘markas’ serangga berbahaya itu semalam.
Menurut mereka operasi dan kerja menebang pokok perlu dilakukan segera kerana sehingga kini terdapat 20 sarang lebah pada pokok tersebut berbanding hanya lima sarang enam tahun lalu.
Seorang penduduk Karim Zakaria 52, berkata keadaan bertambah teruk apabila seorang cucu perempuannya turut mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat disengat lebah di rumah mereka tiga hari lalu.
“Sebelum ini kami (penduduk) masih mampu bersabar apabila lebah-lebah berkenaan menyerang lampu di surau berhampiran dan hanya mengganggu jemaah bersembahyang.
“Tetapi keadaan bertambah buruk kerana lebah-lebah tersebut sudah berani menyerang rumah-rumah penduduk sehingga menyebabkan cucu saya cedera dan dihantar ke klinik berhampiran,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini semalam.
Karim menjelaskan akibat insiden itu, cucunya mengalami demam dan bengkak di bahagian kaki sebelum dihantar ke klinik untuk mendapatkan ubat.
“Selain itu penduduk juga terpaksa bersolat dalam keadaan gelap kerana bimbang lebah-lebah yang hinggap di lampu surau akan menyerang mereka.
“Bagi mengelak diserang, hanya sebuah lampu dipasang setiap kali kami solat berjemaah,” jelasnya.
Justeru, bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku, beliau dan penduduk kampung sepakat untuk menebang pokok berkenaan yang menjadi ‘rumah’ lebah tersebut.
Utusan Borneo by Mastura Ismail /August 23, 2010, Monday
Tiada ulasan: