Buku : Confessions of An Economic Hit Man
Sekurang-kurangnya saya telah membaca ulasan tentang buku ini di dua saluran yang berlainan, maka saya membuat kesimpulan jelas sekali membuktikan betapa buku ini menjadi perhatian kepada kelompok pencinta buku. Buku ini adalah sebuah buku yang memaparkan pengakuan seorang ahli ekonomis yang menyifatkan dirinya sebagai pembunuh upahan ekonomi ( Economic Hitman –EHM). EHM adalah kelompok professional yang ditugaskan untuk menipu negara-negara di serata dunia. Mereka menggunakan laporan kewanagan palsu, pilihan raya yang telah dibeli, sogokan, ugutan , seks dan pembunuhan dalam menjalankan tugas mereka. Sebagai EHM, ia bertanggungjawab untuk menyusup ke negara-negara sedang membangun dan menawarkan pakej pembangunan kepada negara-negara tersebut. Namun begitu, bantuan kewangan yang akan diberikan bukanlah percuma, sebaliknya akan memerangkap kerajaan yang terbabit, lalu menyebabkan negara-negara tersebut terpaksa menggadaikan kemerdekaan mereka dengan memberikan sumber asli, kerjasama ketenteraan dan sokongan politik.Sebagai seorang EHM, penulis telah ditugaskan untuk menjalankan tugas di negara-negara seperti Ecuador, Indonesia, Arab Saudi, Iran, Panama dan beberapa negara lain.
Mengikut penulis, apabila golongan EHM ini gagal untuk memujuk pemimpin-pemimpin negara tertentu untuk menyertai skim mereka, akhirnya kelompok yang dikenali sebagai The Jackals, pembunuh upahan akan dihantar untuk menghabisi pemimpin negara tersebut, sebagaimana yang berlaku kepada General Omar Torrijos, bekas Presiden Panama.
Perkins, walaupun sudah lama bergelumang di dalam permainan ini akhirnya dihantui rasa bersalah melihatkan keadaan dunia yang menderita akibat perangkap yang dipasang oleh Amerika Syarikat ini untuk mencengkam dunia agar berada di bawah hegemoninya. Setelah beberapa lama mencari keberanian dan mendengar suara hatinya, akhirnya beliau tampil dengan buku ini untuk menyedarkan dunia tentang apa yang berlaku.
Walau bagaimanapun, banyak pihak yang menyifatkan Perkins tidak lebih daripada seorang penulis ‘teori konspirasi’ murahan, dan cuba membuat keuntungan daripada pendedahan ini.
Penulis : John Perkins
Harga : RM 45.50
Tiada ulasan: