Jeritan Menyayat Hati
LIMBANG: Seorang lelaki warga emas hanya sempat menjerit meminta tolong sebanyak tiga kali sebelum rentung dijilat api dalam kejadian menyayat hati di sebuah rumah kayu dua tingkat di Kampung Gumaya, empat kilometer dari bandar Limbang di sini pagi semalam.Mangsa Jaman Usof, 88, yang uzur dan tidak mampu berjalan, rentung ketika berada di rumah bersama seorang cucu dan menantunya dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu.
Lebih menyedihkan, hanya jeritan meminta tolong kedengaran ketika orang ramai dan penduduk kampung cuba menyelamatkan mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam bilik tidurnya di tingkat atas rumahnya.
Menceritakan detik menyayat hati itu, menantu mangsa, Jarina, 30-an, berkata ketika kejadian dia bersama anak lelakinya berusia tiga tahun sedang berada di dalam bilik tidur mereka.
Manakala bapa mertuanya ketika itu berada di bilik sebelah sebelum mereka sekeluarga menyedari ada kepulan asap yang datang dari tingkat bawah rumah kayu itu, katanya.
“Ketika kejadian bapa mertua saya berada di bilik tidurnya manakala saya bersama anak lelaki berada di bilik sebelah.
“Sebelum kejadian kami ternampak dan terhidu kepulan asap yang datang dari tingkat bawah rumah,” katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Jarina menjelaskan sebaik menyedari kepulan asap itu, dia segera bergegas menyelamatkan anak lelakinya dengan membawanya keluar rumah.
“Selepas berjaya menyelamatkan anak lelaki saya yang ketika itu dalam ketakutan, saya berpatah balik ke tingkat atas untuk menyelamatkan bapa mertua saya.
“Namun dalam keadaan api yang marak dan merebak dengan pantas sekali, saya tidak sempat menyelamatkan mangsa,” katanya sedih. Sementara itu, kedua-dua anak lelaki mangsa dipercayai tidak berada di rumah ketika kejadian itu berlaku.
Seorang saksi yang cuba hendak menyelamatkan mangsa dalam kebakaran itu berkata hanya jeritan meminta tolong kedengaran sebelum mangsa dijilat api.
“Kami tidak sempat menyelamatkan mangsa kerana api merebak begitu pantas sekali.
“Hanya sebuah kereta jenis Toyota yang diparkirkan di kawasan bawah rumah berjaya dipindahkan sebelum ia terbakar,” katanya.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba Limbang Mohd Helmi Abu Husin, seramai lapan anggota melibatkan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja memadam kebakaran.
“Api berjaya dikawal sekitar 10 minit dan kami terpaksa mengepam air dari kawasan sungai sejauh 300 meter untuk memadam api berikutan air tangki jentera semakin berkurangan,” ujarnya.
Helmi menambah pihaknya kini masih menyiasat punca sebenar kejadian kebakaran tersebut.


Tiada ulasan: