Program Sepakat Bestari 1Malaysia
Masyarakat luar bandar perlu mengetepikan perkaraperkara remeh-temeh yang tidak boleh membawa kemajuan kepada mereka, sebaliknya merugikan seluruh masyarakat itu sendiri.Sikap masyarakat yang suka melayan perkara remeh yang digemburkan hanya merugikan
Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Mohd Naroden Majais berkata masyarakat yang suka ‘melayan’ perkaraperkara remeh-temeh yang digembar-gemburkan oleh golongan tertentu pastinya merugikan mereka.
“Kita akui banyak isu remeh-temeh seperti isu tanah, tohmahan dan juga dakyah pihak-pihak pembangkang yang sengaja mahu memecahbelahkan perpaduan masyarakat.
“Perkara remeh-temeh itu sememangnya perkara lumrah dilakukan oleh golongan tertentu yang tidak mahu melihat masyarakat kita mengecapi pembangunan,” katanya.
Berucap merasmikan program Sepakat Bestari 1Malaysia peringkat Bahagian Samarahan/Asajaya di Pekan Sadong Jaya di sini semalam, Naroden berharap penduduk tempatan terus bekerjasama dan bersatu-padu dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.
Beliau yang mewakili Menteri Perancangan dan Pemngurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa kerajaan telah pun menyediakan banyak peluang dalam pelbagai bidang untuk rakyat.
Justeru, katanya, perlu bagi rakyat memanfaatkan segala peluang yang disediakan sekali gus memberi focus kepada ke arah kemajuan.
“Pelbagai peluang seperti perniagaan, pekerjaan dan sebagainya telah disediakan justeru rakyat harus memberi fokus untuk merealisasikan pencapaian yang diutamakan,” katanya.
Program dua hari itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Samarahan dengan kerjasama Komuniti Bestari Sadong Jaya.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Wan Abdul Wahab Sanusi, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Abdullah Upang dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Helmi Hamid.
Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera berkata dalam situasi ekonomi yang baik sekarang golongan usahawan sememangnya mempunyai peluang cerah untuk berjaya.
“Justeru, saya berharap usahawan tempatan di sini merebutkan peluang untuk memasarkan produk-produk mereka di peringkat dalam negeri dan luar negeri,” katanya.
ADUN Simunjan itu juga yakin dengan kerjasama erat di kalangan penduduk kampung dengan Komuniti Bestari sudah semestinya dapat mewujudkan sebuah kawasan yang mampu mencapai kemajuan dengan pesat.
“Saya percaya program Sepakat Bestari itu mampu menjadi pemangkin untuk terus mengukuhkan perpaduan di kalangan penduduk,” katanya.
by Wan Ali Amit
July 26, 2010, Monday
Tiada ulasan: