Sikap DAP Anti Bumiputera?

Cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya diskaun 5% kepada bumiputera terhadap hartanah dan rumah mewah di Selangor dimansuhkan menyerlahkan lagi sikap DAP yang berniat jahat dan dengki kepada orang Melayu. Ianya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas. Pembelian hartanah bernilai tinggi ini tentunya akan dibeli oleh orang-orang kaya Melayu. Orang-orang kaya Melayu ini juga berhak mendapat diskaun 5% atas status bumiputera walaupun mereka sudah kaya raya.

Nampaknya setiap minggu kerajaan kena melayan kerenah atau isu yang dibawa oleh Cina DAP dan Cina MCA. Tuntutan-tuntutan mereka banyak berkisar kepada hak sama rata. Kalau Wee Kah Siong (MCA) berani menyentuh biasiswa anak-anak Melayu kini Tony Pua pula meminta dimansuhkan diskaun terhadap hartanah dan rumah mewah di Selangor. Perkara ini akan berterusan secara bergilir-gilir oleh MCA dan DAP.

Jikalau mereka masih menuntut hak sama rata maka mereka sebenarnya tidak faham akan konsep 'keadilan' antara bumiputera dan golongan pendatang. Kontrak sosial telah memberi mereka hak kewarganegaraan tanpa tiada tanda-tanda mereka akan kehilangan hak itu sedangkan dalam senyap dan terancang mereka berusaha pula menghapuskan hak-hak istimewa Melayu yang menjadi ganti kepada kewarganegaraan yang telah datuk nenek mereka perolehi.

Qoute:

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Katanya, langkah itu mampu memberi kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Menurutnya, tidak ada sebab diskaun bumiputera dikekalkan melibatkan kedua-dua jenis hartanah itu kerana sudah tentu bumiputera yang terlibat dalam pemilikan tersebut adalah mereka yang berkemampuan.

''Jadi adalah wajar diskaun kepada bumiputera untuk pemilikan hartanah ini tidak dikekalkan kerana ia melibatkan nilai yang tinggi.

''Maknanya, bumiputera perlu berdikari dalam soal pemilikan hartanah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Tony, pemansuhan diskaun itu mampu memberi kesan positif kepada ekonomi Selangor kerana selain mewujudkan nilai hartanah yang stabil ia juga menjadikan pasaran lebih adil.

Beliau berkata, sekiranya projek pembangunan hartanah itu melibatkan penglibatan kerajaan negeri, pemansuhan diskaun memberi keuntungan kepada kerajaan negeri berdasarkan nilai pasaran semasa dan hasilnya boleh disalurkan membantu pihak lebih memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut hanya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas.

Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP turut mengkritik pelaksanaan diskaun itu yang disifatkannya tidak adil kerana mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

''Diskaun sebanyak tujuh peratus itu membolehkan pihak tertentu khususnya orang tengah mendapatkan hartanah dengan harga rendah kemudian dijual pada harga lebih tinggi,'' katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri mengkaji semula pemberian tanah kepada anak syarikatnya yang dilihat tidak membantu dalam pembangunan hartanah di Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri didapati mempunyai kira-kira 50 hingga 80 anak syarikat yang kesemuanya terlibat dengan pembangunan hartanah di negeri ini.

''Keadaan ini menunjukkan kerajaan negeri memberi subsidi kepada banyak anak syarikat untuk mendapatkan tanah yang murah bagi menjalankan pembangunan berkenaan.

''Keadaan ini tidak akan menjadikan sektor hartanah di Selangor kompetitif," katanya.

Mansuh diskaun hartanah bumiputera

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

Tindakan DAP boleh luaskan jurang pemilikan ekuiti kaum

SHAH ALAM 26 Julai - DAP disifatkan sebagai cuba mengamalkan sikap cauvinis apabila mencadangkan kerajaan negeri supaya menghapuskan diskaun bumiputera dalam pembelian premis komersial di negeri ini

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua itu adalah tidak wajar kerana ia akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam pengagihan serta pemilikan ekuiti di antara kaum di negara ini.

Ini kerana, katanya, pemilikan ekuiti serta kuasa beli kaum bumiputera di negara ini termasuk di Selangor adalah jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain.

Menurut beliau, sekiranya wujud ketidakseimbangan tersebut, maka ia sudah pasti memberi kesan negatif kepada kestabilan antara kaum seterusnya mengundang ketidaktentuan ekonomi di negara ini.

''Kita lihat keadaan yang pernah berlaku di negara ini apabila pengagihan dan pemilikan ekuiti tidak seimbang sehingga berlaku rasa tidak puas hati atau ketidakstabilan antara kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

''Kita mahu memberi keseimbangan kepada semua kaum, tidak kira apa bentuk atau jenis pengagihan dan ekuiti yang dimiliki. Apa yang penting tumpuan harus diutamakan kepada kaum yang kurang keupayaan ekonomi (bumiputera) agar jurang agihan dan ekuiti pemilikan antara kaum itu dapat dikurangkan.

''Namun Tony tidak faham akan keadaan ini. Inilah sikap sebenar DAP yang cauvinis dan tidak mengambil kira kedudukan kaum lain di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Tony agar kerajaan negeri supaya memansuhkan diskaun bumiputera sebanyak tujuh peratus untuk pemilikan premis komersial di Selangor.

Selain premis komersial, Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP turut mencadangkan supaya diskaun bumiputera itu dikurangkan melibatkan pemilikan rumah mewah dengan alasan meningkatkan persaingan serta keyakinan pelabur di negeri itu.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menafikan pengenalan diskaun bumiputera bagi pemilikan hartanah itu akan menjejaskan keupayaan persaingan negeri serta keyakinan pelabur di negeri itu.

Sebaliknya, jelasnya, ketika pentabdiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sungguhpun kerajaan negeri pada masa itu melaksanakan dasar diskaun pemilikan hartanah kepada bumiputera, ia sebenarnya tidak menjejaskan prestasi ekonomi Selangor dari segi persaingan mahupun keyakinan pelabur.

''Dahulu, sebarang projek hartanah diskaun bumiputera memang ada dilaksanakan, akan tetapi sekiranya tidak ada bumiputera yang berminat terhadap hartanah itu untuk tempoh lama, barulah kita buka kepada kaum lain yang berminat.

''Saya tidak nampak apa perlunya cadangan penghapusan diskaun ini apatah lagi mengatakan ia beri kesan kepada prestasi ekonomi Selangor,'' katanya.

Malah, katanya, ketika pentadbiran BN dahulu, prestasi ekonomi negeri berada dalam keadaan baik, termasuk keyakinan pelabur yang tinggi berbanding pada hari ini.

Posted by Lawasian on Selasa, Julai 27, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: