Yayasan S’wak mungkin contohi PTPTN tangani pelajar tidak bayar pinjaman

Yayasan Sarawak mungkin akan mengikuti langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam menangani masalah pelajar yang tidak membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran mereka.Pengarah Yayasan Sarawak Mohd Abu Bakar Marzuki berkata, pihaknya mungkin akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen untuk menghalang pelajar tegar yang belum melunaskan hutang untuk keluar dari Malaysia.

Beliau yang ditanya semalam mengenai prestasi pembayaran balik oleh pelajar menjawab bahawa tahap pembayaran balik oleh pelajar yang membuat pinjaman setakat ini adalah memuaskan.
Menurut beliau, kutipan pembayaran balik pada 2009 adalah kira-kira RM6.1 juta atau 65 peratus hingga 70 peratus dari segi peratusan.

“Peratusan yang kita perolehi dari segi kutipan pembayaran balik adalah mungkin disebabkan adakalanya pelajar tidak membayar untuk satu-satu bulan tetapi tetap membayar pada bulan lain.
“Tetapi untuk peminjampeminjam yang tegar pelbagai tindakan akan diambil dan salah satunya ialah kami akan mempamerkan nama mereka di dalam surat khabar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pelbagai skim bantuan ditawarkan oleh Yayasan Sarawak.
Antaranya ialah Tabung Amanah Bakun yang ditubuhkan pada 1997 yang setakat ini telah menaja lebih kurang 2000 pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan.

Tabung tersebut ditubuhkan berperanan untuk membantu pelajar yang berasal dari daerah Belaga, bahagian Kapit yang terlibat dalam perpindahan penempatan secara besar-besaran masyarakat suku kaum Orang Ulu ketika pembikinan Empangan Hidro Bakun.

Menurut Abu Bakar, tabung tersebut berfungsi pada waktu kritikal iaitu untuk menampung kos perbelanjaan yang diperlukan sewaktu mula untuk masuk universiti.

“Tabung Amanah Bakun fokus untuk kes pelajarpelajar yang baru memasuki universiti dan memerlukan bantuan kewangan untuk berbuat demikian.

“Namun demikian, setelah setahun belajar di sesuatu universiti, kami menggalakkan pelajar tersebut untuk memohon bantuan lain seperti PTPTN dan sebagainya,” jelas beliau.
Menurut pegawai yang bertanggungjawab ke atas urusan tabung tersebut Romio Ding, setakat ini jumlah dana di dalam Tabung Amanah Bakun adalah kira-kira RM8 juta.

“Pihak Yayasan Sarawak membelanjakan kira-kira RM200,000 sehingga RM300,000 setahun untuk membantu pelajar dari daerah Belaga dan jumlah perbelanjaan adalah bergantung kepada jumlah permohonan,” jelas Romio.

Semalam, pihak Yayasan Sarawak mengadakan sesi taklimat Khas di Pusat Pembangunan Pendidikan Sarawak di Jalan Sultan Tengah.

Kompleks tersebut menurut Abu Bakar merupakan ibu pejabat Yayasan Sarawak yang baru yang telah berpindah pada 1 April lepas dari Wisma Satok.

Menurut Abu Bakar, kompleks tersebut akan dirasmikan pada 27 Mei ini bersempena dengan hari penubuhan Yayasan Sarawak.


Borneo Post
April 16, 2010, Friday

Posted by Lawasian on Jumaat, April 16, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: