Kes Buli Perlu Siasatan Menyuluruh

LIMBANG: Insiden sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang yang membuli pelajar lain di sini kelmarin dianggap kes serius dan memerlukan siasatan menyeluruh.Ketua Polis Limbang Superintenden Landi Ilot berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau yang dihubungi Utusan Borneo semalam menyifatkan insiden itu sebagai serius dan tidak sepatutnya berlaku dalam kawasan sekolah.

“Kita sedang menunggu OTI (Order The Investigation) daripada pihak pendakwaan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kes buli terbaru yang ditampilkan media (Utusan Borneo) kelmarin.

“Kertas siasatan masih dibuka sehingga ada arahan daripada pihak pendakwaan sebelum sebarang tindakan undang-undang dilakukan ke atas pelajar terbabit,” katanya.

Kelmarin akhbar ini mendedahkan aksi sekumpulan pelajar SMK Agama Limbang yang membuli pelajar lain selain berani merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Landi berkata keterangan daripada pelajar terbabit juga akan diambil dan dirakam setelah menerima OTI daripada pendakwaan nanti.

Sementara itu Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah mahu pihak sekolah berkenaan memperketatkan dan meningkatkan aspek disiplin di kalangan pelajarnya.

“Guru-guru disiplin harus diberi kuasa untuk memantau segala aktiviti yang dilakukan pelajar terbabit bagi mengelak insiden sama berulang.

“Mereka perlu turun padang meningkatkan pemantauan di kawasan sekolah agar pelajar tidak melanggar peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Hasbi berkata ibu bapa dan guru perlu memain peranan dan bekerjasama dalam mendidik anak mereka tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

Beliau juga menyarankan pihak sekolah agar tidak menyembunyikan kejadian tersebut dan bertindak pantas terhadap perbuatan pelajarnya yang menyalahi peraturan sekolah.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, insiden berkenaan perlu ditangani sebaik mungkin dengan mengambil kira semua aspek.

“Sudah tentu kejadian buli itu mengejutkan dan menyedihkan kerana ia berlaku dalam kawasan sekolah.

“Ibu bapa dan pihak sekolah seharusnya mencari jalan penyelesaian, membuat keputusan seadil-adilnya bagi mengelak ia berulang lagi,” jelas beliau.

Menjawab soalan mengenai tindakan sesetengah pihak yang cuba menyembunyikan perkara itu beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

“Kita berfikiran terbuka mengenai perkara ini. Kes berat seperti buli pelajar tidak harus disembunyikan kerana ia boleh menjadi api dalam sekam.

“Ia juga boleh merosakkan keharmonian yang dikecapi institusi masyarakat hari ini,” ujarnya.



by Mastura Ismail
February 27, 2010, Saturday

Posted by Lawasian on Ahad, Februari 28, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: