Pusaka ditabal ‘Raja Sungai Lawas’ 2012
LAWAS: Pasukan Pusaka mencipta kejutan apabila menjulang mahkota kejuaraan, sekali gus merebut gelaran ‘Raja Sungai Lawas’ pada Regata Lawas sempena Pesta Lawas yang berlangsung penuh mendebarkan di tebingan Sungai Lawas petang kelmarin (Ahad).
Kejayaan itu turut menyingkirkan juara bertahan, Citra Alti yang terpaksa akur di tempat kedua manakala pasukan bukan pilihan, Sundar menduduki tempat ketiga.
Selaku juara, Pusaka membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai RM5,000 manakala Citra Alti selaku naib juara tidak pulang hampa dengan habuan RM3,000. Sundar pula menerima RM2,000.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.
Turut hadir ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah serta kenamaan-kenamaan lain.
Terdahulu sembilan acara dipertandingkan pada hari ketiga Regata Lawas termasuk 15 orang pekayuh lelaki (persatuan), 10 orang pekayuh lelaki (kerajaan dan badan berkanun), 20 orang pekayuh lelaki/wanita (campuran), 30 pekayuh lelaki (terbuka) dan 30 orang pekayuh lelaki (terbuka) maraton.
Acara-acara lain termasuk 25 dan 15 pekayuh lelaki wanita dan lelaki, 20 pekayuh lelaki terbuka dan 30 pekayuh lelaki terbuka.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/05/29/pusaka-ditabal-raja-sungai-lawas-2012/#ixzz1wiURQYz2
Posted on May 29, 2012, Tuesday
Tiada ulasan: