Perbanyak berita dari Sarawak: Awg Tengah
KUCHING: Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu media nasional menyalurkan lebih banyak berita dari negeri ini untuk pengetahuan rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, perkara tersebut penting memandangkan terlalu ramai rakyat negeri ini yang berada di Semenanjung Malaysia dan mereka perlu mengetahui perkembangan di negeri ini.
“Liputan di Sarawak masih belum memuaskan kerana apa yang kita lihat kini, cuma sedikit sahaja perkembangan di negeri ini dilaporkan dalam media cetak mahupun elektronik.
“Justeru saya berharap agar liputan di negeri ini dapat diseimbangkan kerana ramai rakyat Sarawak kini bekerja di Semenanjung Malaysia dan kita tidak mahu mereka terlepas daripada mengikuti perkembangan di negeri ini,” katanya dalam satu sidang media sempena Majlis Ramah- tamah Aidilfitri di sini semalam.
Sementera itu, beliau turut memberitahu, media merupakan pihak yang memainkan peranan dalam memperkukuhkan hubungan di kalangan masyarakat.
“Melalui media, rakyat dapat menyuarakan masalah yang dihadapi mereka, di samping kerajaan juga dapat menerangkan lebih lanjut mengenai dasar-dasarnya. “Disebabkan itu media merupakan organisasi yang dapat mengeratkan hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Selain itu beliau turut mengingatkan agar media dapat memberikan kefahaman mengenai sejarah dan matlamat yang perlu dicapai di negara ini.
“Sebagai contoh, ramai rakyat yang tidak mengetahui maksud Hari Malaysia, di mana mereka beranggapan Hari Malaysia adalah sama dengan Hari Merdeka.
“Disebabkan itu, media perlu memainkan peranan agar rakyat dapat memperolehi informasi yang tepat mengenai perkara seperti ini,” katanya.
Hadir sama pada sidang media tersebut semalam ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Stephen Rundi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Mong Dagang.
by Jeremy Lanson. Posted on September 22, 2011, Thursday
Tiada ulasan: