Peniaga harus prihatin status halal



MIRI: Para peniaga khususnya yang terlibat dengan perniagaan makanan dan minuman dinasihatkan supaya tidak mengejar keuntungan semata-mata tanpa mengetahui status halal produk yang digunakan.

Justeru, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) Abdul Hadie Arbi menyeru peniaga supaya lebih bertanggungjawab terhadap pengguna beragama Islam dengan menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu produk sama ada halal atau tidak.

“Kebelakangan ini, kita sering mendengar status halal sesuatu produk di pasaran sama ada didapati tidak halal atau diragui statusnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, jika para peniaga berasa waswas tentang sesuatu produk, lebih wajar statusnya dirujuk kepada pihak bertanggungjawab.

“Janganlah hendak untung sahaja, kualiti sesuatu produk sama ada mendapat pengiktirafan (halal) atau tidak, tidak dipedulikan.. tidak boleh begitu,” ujar beliau.

Pada masa sama, beliau turut menasihati para pengguna agar turut bekerjasama jika terdapat keraguan mengenai status halal sesuatu produk.

Bagi pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas hal-hal berkaitan pula, Abdul Hadi menyarankan aspek pemantauan diperhebatkan.

“Dalam hal ini ,sebenarnya semua harus bekerjasama demi kesejahteraan semua pihak,” kata beliau.

Baru-baru ini, mentega ‘Golden Churn Creamery Butter’ yang dijual di pasaran Sarawak dikesan mengandungi DNA babi melalui satu laporan daripada Jabatan Kimia Malaysia bertarikh pada 19 Julai 2011.

Ia serta-merta menimbulkan pelbagai reaksi dan kesan sama ada di kalangan peniaga mahupun pengguna terutamanya yang beragama Islam.

Sementara itu, kelmarin pula dilaporkan bahawa Advance Meat Fabtication Co Ltd, sebuah syarikat pengeluar sosej Thailand kehilangan pelanggan Islam 100 peratus di negara ini selepas laporan berhubung penjualan sosej pulut dan kek ayam yang turut mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi di beberapa bazar Ramadan di Perlis.

Laporan berkenaan mengatakan bahawa pada 3 Ogos lalu, sebuah akhbar melaporkan bahawa dua daripada tujuh sampel sosej dan kek ayam yang dikumpul oleh Jabatan Kesihatan Perlis disahkan mengandungi DNA babi manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihati umat Islam menghentikan pembelian makanan yang diragui status halalnya.

Namun, pengurus syarikat berkenaan memberitahu syarikatnya yang diasaskan sejak 2002 adalah pengeluar sosej dan kek ayam yang halal dengan menunjukkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat Islam Thailand yang berkuat kuasa 14 Mac 2011 sehingga 13 Mac 2012.



Borneo Post:August 10, 2011, Wednesday

Posted by Lawasian on Rabu, Ogos 10, 2011. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: