Kuala Lawas diwarta taman laut
PERAIRAN Kuala Lawas di Miri, Sarawak, dipilih untuk diwartakan sebagai taman laut yang baru bagi menjamin populasi hidupan marin terutama dugong di situ tidak pupus angkara pembangunan.
Sebelum ini, perairan Miri-Sibuti sudah diwartakan sebagai taman laut selepas kerajaan negeri serius mewartakan lokasi itu sebagai tempat perlindungan dan pemuliharaan kehidupan marin yang kini kian lenyap.
Dengan usaha terbaru itu, bermakna sejumlah 206,344 hektar kawasan perairan di Sarawak yang dipenuhi hutan bakau sudah diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya bagi kepentingan spesies marin.
Kawasan perairan terbabit yang kaya dengan rumpai laut semuanya menjadi habitat hidupan marin seperti penyu, dugong, ikan lumba-lumba, kuda laut selain dipenuhi pelbagai spesies batu karang.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kuala Lawas yang dipenuhi pokok bakau di sepanjang pantai dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan dugong dan penyu hijau.
Langkah berkenaan disambut baik penduduk tempatan yang berharap ia dapat memulihkan stok ikan dan sumber marin selain boleh dimajukan sebagai produk pelancongan baru di kawasan utara Sarawak pada masa akan datang.
Seorang penduduk, Shukri Ahmad, 47, berkata kewujudan taman laut penting bagi memastikan spesis hidupan marin yang kerap dilihat di Kuala Lawas tidak terancam dan dapat dilindungi sepenuhnya.
"Ketika ini, populasi hidupan marin berkenaan amat jauh berkurangan berbanding beberapa tahun lalu. Misalnya dugong yang suatu ketika banyak kini hanya dapat dilihat pihak penyelidik dengan kami sendiri sukar melihatnya.
"Disebabkan itu saya berasa adalah wajar bagi kita mewartakan kawasan Kuala Lawas menjadi taman negara kerana ia dapat menjadi tempat pembiakan hidupan laut yang sangat sesuai," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, sebelum ini kerajaan sudah pun menempatkan banyak tukun tiruan di kawasan Kuala Lawas untuk pembiakan ikan di situ.
Usaha itu, katanya, dapat menjana pendapatan nelayan di kawasan itu yang bergantung kepada tangkapan ikan untuk menyara hidup.
Kewujudan taman laut baru itu nanti, katanya, bakal menjadi produk pelancongan yang penting kepada daerah Lawas, terutama bagi peminat aktiviti skuba seperti di taman laut Miri-Sibuti.
Tiada ulasan: