Kemajuan Limbang, Lawas tidak diabai
LAWAS: Selepas sekian lama menaruh harapan, penduduk dua daerah paling utara di Sarawak iaitu Limbang dan Lawas akhirnya menerima berita gembira apabila kerajaan negeri berjanji membina Hospital Lawas bernilai RM80 juta tahun ini.
Setidak-tidaknya jaminan yang diberikan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini terpaksa merujuk pesakit yang menerima rawatan lanjut ke Hospital Miri atau Kota Kinabalu di Sabah.
Ini berikutan hospital sedia ada tidak mempunyai jumlah doktor dan kemudahan perubatan yang mencukupi.
Situasi itu menyebabkan kos rawatan bagi pesakit di daerah yang dipisahkan oleh Brunei lebih tinggi berbanding kawasan lain di Sarawak.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar di sini, Awang Tengah berkata, projek pembinaan hospital itu akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Kerajaan Pusat sudah meluluskan kos bagi membina projek itu termasuk, pembinaan lapangan terbang baru di Lawas. Semua projek itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.
Beliau berkata, sebuah klinik 1Malaysia juga akan dibuka di daerah Lawas untuk kemudahan penduduknya tidak lama lagi.
Katanya, pembinaan kemudahan kesihatan bukan bertujuan untuk memancing undi menjelang pilihan raya ke-10, tetapi bagi menunaikan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat di kawasan itu.
“Perancangannya sudah pun dibuat sejak beberapa tahun lalu, tetapi belum dapat ditunaikan kerana peruntukan terhad dan kosnya tinggi.
“Sekarang, kerajaan membuktikan kepada rakyat Limbang dan Lawas bahawa janji BN tetap akan ditunai dan tidak ada bohong seperti janji parti pembangkang,” katanya.
Di samping itu, Awang Tengah menasihatkan penduduk di Limbang dan Lawas supaya terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN pada pilihan raya kali ini bagi memudahkan kerajaan menyalurkan projek pembangunan untuk kedua-dua daerah itu.
Beliau berkata, walaupun Limbang dan Lawas agak terpisah dengan daerah Sarawak lain, namun pembangunan di kawasan itu tidak pernah diabaikan.
Tiada ulasan: