Pembangkang tidak perlu desak KM bubar DUN

KUCHING: Parti-parti pembangkang tidak perlu mendesak Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan tarikh pilihan raya negeri dengan segera.

Ini kerana, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan berakhir pada Julai depan dan Ketua Menteri boleh mengumumkan pembubaran DUN Negeri pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sememangnya Ketua Menteri tahu bila tiba masanya beliau akan mengumumkan pembubaran DUN, justeru tidak perlu didesak oleh mana-mana pihak.

“Kita akan mengadakan pilihan raya negeri pada tahun ini… dan tidak perlu bagi pihak pembangkang mendesak agar Ketua Menteri mengumumkan pembubaran DUN dengan segera.

“Parti pembangkang tidak perlu mendesak Ketua Menteri untuk mempercepatkan pilihan raya diadakan, sebaliknya mereka perlu ‘buat kerja sendiri’ dan jangan cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Abdul Karim berkata parti-parti pembangkang sememangnya hanya muncul pada musim pilihan raya tetapi mereka tidak berjumpa dengan rakyat di pelbagai kawasan pada setiap masa meskipun mereka sebagai wakil rakyat.

“Kita akui pembangkang hanya pandai memporak-perandakan rakyat, tetapi mereka tidak pernah mahu membantu rakyat walaupun me-reka mewakili kawasan yang ditawan pembangkang,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan bahawa Dewan Pemuda PAS Sarawak mendesak Ketua Menteri mengumumkan pembubaran DUN de-ngan segera bagi membolehkan pilihan raya ne-geri diadakan secepat mungkin.

Pengerusinya, Abang Eddy Allyani Abang Fauzi ketika ketika bercakap kepada pemberita di Bintulu, Sabtu lalu dipetik sebagai berkata: “Sekiranya BN sudah kuat dan yakin, tidak seharusnya menahan tempoh proses itu (pilihan raya) terlalu lama.”
Utusan Borneo
Posted on February 2, 2011, Wednesday

Posted by Lawasian on Jumaat, Februari 04, 2011. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: