Lapangan Terbang Lawas perlu diganti baru

LAWAS: Daerah Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang baru bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada yang sudah lama dan berisiko ditenggelami air setiap kali hujan lebat turun.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata berikutan masalah yang kerap berlaku itu, beberapa penerbangan domestik terpaksa dibatalkan setiap kali lapangan terbang tersebut dilanda banjir kilat.

Jelasnya keadaan tersebut menjejaskan jadual pengguna yang bergantung kepada pengangkutan udara untuk ke Kota Kinabalu dan ke destinasi lain, melalui Miri.

“Di Lawas penerbangan hanya boleh dibatalkan dua jam awal, kadang-kadang tidak dapat dijangka, sekiranya cuaca tak baik penerbangan terpaksa dibatalkan.

“Minggu lepas untuk berapa kalinya lapangan terbang tenggelam akibat banjir kilat dan ini menjejaskan kehidupan penduduk dan juga pengguna,” katanya ketika berucap pada Program Sejiwa Senada di sini kelmarin.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib dan isteri, Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibolah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Morshidi Ghani.

Awang Tengah menjelaskan, bagi mereka yang hendak pergi ke Kota Kinabalu melalui jalan darat, ia akan mengambil masa sehingga tiga jam setengah.

“Manakala penduduk yang ingin pergi (memandu) ke Limbang pula harus melalui daerah Temburong, Negara Brunei. Ada yang mempunyai pasport dan kadang-kadang mereka tidak ada pasport,” ujarnya lagi.

Katanya melalui sokongan dan keprihatinan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Lawas bakal mempunyai lapangan terbang baru untuk dikongsi dengan wilayah berhampiran, melibatkan Beaufort dan Sipitang di Sabah.

“Saya juga sudah berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu pada pertemuan tidak lama dulu dan beliau memberikan reaksi positif,” katanya.

Beliau berkata lagi kerajaan pusat melalui sokongan kerajaan negeri juga sudah meluluskan peruntukan sejumlah RM80 juta bagi pembinaan Hospital Lawas yang baru mengantikan hospital yang uzur sekarang.

“Mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) hospital yang ada sekarang perlu dikosongkan kerana sudah agak lama dan tidak sesuai untuk penduduk di daerah ini.

“Namun kerajaan begitu prihatin sekali gus memberikan tapak baru bagi pembinaan hospital ini nanti,” jelasnya.

Beliau menambah lagi selain kemudahan lapangan terbang dan hospital, bahagian Limbang memerlukan sebuah sekolah vokasional atau teknik bagi memberi peluang kepada anak-anak muda meningkatkan kemahiran mereka.

“Anak-anak muda di Limbang dan daerah Lawas terpaksa pergi ke Kuching atau Kota Kinabalu untuk melanjutkan pelajara dalam bidang kemahiran sebab tidak ada sekolah vokasional.

“Selain maju dari segi akademik, mereka juga mempunyai ruang untuk meningkatkan kemahiran dan ini amat diperlukan,” jelasnya.

Pada masa sama katanya infrastruktur lain perlu diperbanyakkan di bahagian Limbang yang mempunyai banyak produk pelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya kerajaan dan rakyat perlu mempunyai hubungan rapat yang dibina melalui kerjasama dan pemikiran positif.

“Hubungan ini penting bagi memastikan kawasan paling utara di negeri ini akan kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan perjuangan bukan saja hari ini tetapi untuk pada masa depan,” tambahnya beliau.

Lapangan Terbang Lawas yang sering banjir kilat perlu diganti baru
Posted on February 14, 2011, Monday

Posted by Lawasian on Isnin, Februari 14, 2011. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

4 ulasan:

  1. au eh mau jua yang baru eh...baru ada kemajuan ,ekonomi baru tah makin naik,...TAPI BILAKAN BUAT NI????....MACAMBATAH JA LAGI....KLAU BULIH HOSPITAL JUA BUAT,MANA TAU OARNG MAKIN RAMAI K LAWAS SAKIT NADA TEMPAT KARANG BERUBAT,BUKAN PLANG KU MINTA KAMI ANI SAKIT CUMA KAN BERINGAT,,BAIK JUA ADA DIIIIHH....

    BalasPadam
  2. Tanpa NamaMac 31, 2011

    jgn sekadar jadi artikal di 1 lawas.com saja. kalau boleh buatkan lah. batah udah urang lawas ani tenanti2.

    BalasPadam
  3. IrfanShah@CNApril 06, 2011

    Confirm sampai semua pembangunan ini dalam tidak lebih dari setahun hingga tiga tahun dari sekarang...sebabnya hospital dan airport lawas berada dalam highest priority kerajaan sekarang.

    BalasPadam
  4. setuju mun ada aiport baru. besar manfaatnya kalau aiport baru di lawas di bina..InsyaAllah dapat meningkatkan kemajuan di lawas.. banyak benda yang kita ada di lawas yang boleh dimajukan dan diketengahkan. Antara contoh terbaik adalah produk pelancongan yang sedia ada.. ada tempat best yang boleh dilawati,adalah orang lain dari mana2 tempat yang datang/bkunjung dan akan adalah peluang perniagaan/pekerjaan.. semua ini bolehlah menaikkan taraf hidup masyarakat setempat.. renung2kan ^^

    BalasPadam