300,000 orang bakal nikmati kemudahan khidmat UMP 1M’sia
MIRI: Lebih 300,000 penduduk utara Sarawak termasuk Miri, Lawas dan Limbang menikmati kemudahan perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1Malaysia) apabila ia mulai dilancarkan secara rasmi serentak di seluruh negara semalam.
Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu berkata, UMP1Malaysia ini merupakan perkhidmatan pembekalan ubat susulan melalui pos laju ke lokasi pilihan di seluruh negara dan boleh diperolehi seluruh hospital utama.
“Kementerian Kesihatan Malaysia semalam melancarkan UMP1Malaysia dan serentak dengan itu semua hospital kerajaan termasuk Hospital Miri turut melancarkan program yang sama,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Antara faedah yang dinikmati ialah, ubat dihantar terus ke lokasi pilihan, jaminan kesinambungan bekalan ubat, menyelesaikan masalah kesuntukan masa, jimat kos perjalanan dan tiada masalah meletakkan kenderaan atau kesesakan.
Pesakit boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan pergi ke kaunter farmasi bagi mendapatkan borang tawaran UMP1Malaysia dan menyemak kriteria.
“Antara kriteria penting ialah pesakit mesti patuh dan faham terapi pengubatan dan cara penggunaan, stabil. Hanya ubat bentuk dos jenis tablet dan kapsul, ubat bukan jenis psikotropik dan tidak sensitif kepada perubahan suhu dan kelembapan.”
“Selain itu, preskripsi untuk penyakit kronik, bekalan ubat kali pertama di kaunter farmasi dan tempoh melebihi satu bulan,” katanya.
Caj kiriman akan dikenakan seperti berikut: bagi berat kurang daripada 500 gram, dalam kawasan Semenanjung Malaysia (RM5), Sabah dan Sarawak (RM5) manakala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya (RM8), manakala bagi berat lebih 500 gram sehingga 1000 gram Semenanjung Malaysia (RM6), Sabah dan Sarawak (RM6) manakala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya (RM10).
Perkhidmatan ini merupakan pilihan bagi pesakit untuk memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu datang ke kaunter farmasi. Pembayaran boleh dibuat secara tunai selepas kiriman ubat diterima.
Selain itu, kiriman ubat boleh dihantar mengikut lokasi pilihan pesakit sama ada di rumah ataupun di pejabat.
Mengenai prosedur untuk menggunakan kemudahan ini, beliau menambah pesakit perlu datang berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai preskripsi.
“Sebagai contoh, pesakit dari Lawas, pihak hospital akan beri preskripsi ubat selama tiga bulan. Pihak farmasi kemudian akan mengatur penghantaran pada bulan seterusnya,” kata Dr Faizul.
Bagaimanapun, program penghantaran ini terhad untuk kawasan yang mempunyai poskod manakala kawasan luar bandar yang sukar dihubungi seperti Baram dihantar melalui perkhidmatan doktor udara atau melalui bot.
Bagi kiriman ubat yang diterima melalui kiriman pos tidak sama dengan ubat yang diambil di kaunter farmasi, pesakit diminta merujuk perkara itu kepada pegawai farmasi di hospital yang membuat penghantaran kiriman ubat berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
300,000 penduduk utara Sarawak bakal nikmati kemudahan khidmat UMP 1M’sia
by Sudan Ajang. Posted on January 25, 2011, Tuesday
Tiada ulasan: