Ibu tunggal segera dibantu
Baitulmal hulur sumbangan ringan beban Siti RosmawatiBANTUAN SEGERA: Norsiah (dua kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM4,000 daripada TBS Cawangan Bintulu kepada Siti Rosmawati sambil disaksikan oleh dua kakitangan Tabung Baitulmal Bintulu (kiri dan kanan).
BINTULU: Selepas penderitaan hidup seorang ibu tunggal yang mempunyai tujuh anak disiarkan dalam akhbar ini kelmarin, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Bintulu terus bertindak pantas menghulurkan bantuan segera kepada ibu tunggal terbabit di kediamannya di rumah kedai BDA Shahida pusat bandar semalam.
Sumbangan wang tunai berjumlah RM4,000 termasuk dua kampit beras berjumlah 20 kilogram telah disampaikan oleh Pegawai Cawangan TBS Bintulu Norsiah Suhaili yang mewakili Ketua Cawangannya Salim Bujang kepada Siti Rosmawati Abdullah@Maria Francis semalam.
Sementara itu, Ketua Cawangan TBS Bintulu Salim Bujang berkata, selain sumbangan wang tunai itu, ibu tunggal terbabit sedang menerima sumbangan berbentuk sara hidup bulanan daripada pihak TBS Cawangan Bintulu.
“Sumbangan itu adalah untuk menampung perbelanjaan harian ibu tunggal terbabit termasuk untuk membantu membiayai persekolahan anak-anaknya,” katanya semasa menghubungi Utusan Borneo semalam.
Dalam pada itu, Siti Rosmawati menyatakan bahawa dia amat berterima kasih kepada TBS kerana memberi bantuan segera wang tunai berjumlah RM4,000 tersebut.
“Bantuan yang diberikan ini akan saya gunakan dengan sebaiknya untuk persekolahan anak-anak serta untuk menampung perbelanjaan harian keluarga saya. Ini rezeki Allah untuk anak-anak,” katanya dengan nada sebak semalam.
Selain itu beliau turut berterima kasih kepada Utusan Borneo atas jasa baik menyiarkan penderitaannya.
Semalam akhbar ini menyiarkan mengenai penderitaan Siti Rosmawati, 34, yang telah bercerai dengan suaminya pada 23 November 2010, mengadu menghadapi masalah perbelanjaan bagi membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan.
Dia yang bekerja sebagai pencuci pejabat di sebuah sekolah rendah (SK Kampung Baru) di sini hanya menerima gaji RM400 sebulan.
Sebelum bercerai Siti Rosmawati tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anaknya.
Beliau turut menjelaskan yang pemilik rumah sewa memberi notis kepadanya agar berpindah selewat-lewatnya Sabtu ini.
Siti Rosmawati memeluk Islam pada 20 Disember 1999 dan enam anak-anak di bawah tanggungannya terdiri daripada Abdul Qayyum Fahim Abdullah yang baru tamat Tingkatan Lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ainul Husna Abdullah (Tingkatan Empat),Muhammad Aiman Abdullah (Tingkatan Dua) yang masing-masingnya kini bersekolah di SMK Baru.
Diikuti Hilayrie Gantie Abdullah (11 tahun), Mohamed Fauzi Abdullah (enam tahun) dan Zulkiflie Zainie (lima tahun).
Seorang lagi anaknya berada di kampung menjaga ibunya ialah August Johnny, 19 tahun yang belum memeluk Islam.
Siti Rosmawati berasal dari Pakan Entabai, Sarikei.
by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on December 18, 2010, Saturday
Tiada ulasan: